20 maut perkampungan di Darfur ditimbus tanah runtuh


Sekurang-kurangnya 20 terbunuh di wilayah bergolak Darfur di Sudan selepas tanah runtuh menimbus kampung mereka susulan hujan lebat, kata kumpulan pemberontak di situ. – Gambar fail AFP, 13 September, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 20 terbunuh di wilayah bergolak Darfur di Sudan selepas tanah runtuh menimbus kampung mereka susulan hujan lebat, kata kumpulan pemberontak itu.

Beberapa mangsa dikhuatiri masih terperangkap selepas batu menghempas ke arah rumah mereka di kawasan pergunungan di Jebel Marra pada 7 September lalu.

Kawasan terpencil itu dikawal kumpulan pemberontak Sudan Liberation Army-Abdul Wahid (SLA-AW) dan maklumat sukar diperoleh di situ.

“Pada 7 September sebahagian bukit runtuh menimpa perkampungan di timur Jebel Marra menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh,” kata Mohamed El-Naier, jurucakap SLA-AW.

“Berpuluh-puluh lagi masih tertimbus di bawah serpihan. Keseluruhan kampung musnah,” katanya, menambah mangsa yang terselamat kini tinggal di kawasan terbuka tanpa perlindungan.

Jumlah kematian disahkan oleh majlis syura puak Fur, puak terbesar di Darfur.

“Kami mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, NGO dan kerajaan membantu kami mencari mereka yang masih hilang dan memberikan perlindungan kepada mangsa yang terselamat,” kata Amin Mahmud Osman, setiausaha agung majlis itu, dalam satu kenyataan.

Wilayah Jebel Marra, kawasan dikelilingi gunung berbatu menjadi lokasi pertempuran di antara SLA-AW dan tentera kerajaan sejak beberapa bulan lalu, walaupun tahap keganasan kekal rendah di seluruh Darfur. – AFP, 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen