Penggodam komputer Rusia mengaku bersalah


Peter Levashov diekstradisi ke Amerika Syarikat dari Sepanyol Februari lalu, di mana lokasi beliau ditangkap lebih setahun lalu selepas Washington mengeluarkan waran. – Gambar EPA, 13 September, 2018.

PENGGODAM Rusia yang satu ketika mengawal lebih 100,000 komputer secara global menerusi botnet yang diciptanya mengaku bersalah atas kesalahan melakukan jenayah komputer dan mencuri identiti semalam.

Peter Levashov, 37, diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dari Sepanyol Februari lalu, di mana lokasi beliau ditangkap lebih setahun lalu selepas Washington mengeluarkan waran.

Beliau dikatakan mendalangi siri botnet antarabangsa dan operasi spam sejak 1990-an, kebanyakannya botnet Kelihos, yang dipajakkan kepada orang lain untuk mencuri identiti, mencetuskan gelombang spam dan menuntut tebusan daripada pemilik komputer.

Pada 7 April, 2017 pihak berkuasa AS menghapuskan Kelihos ketika pihak berkuasa Sepanyol menahan Levashos yang memasuki negara itu menerusi lapangan terbang Barcelona.

Projek Spamhaus yang mendokumenkan spam, botnet, malware dan masalah lain pada ketika itu menggelar Levashos, “seorang daripada pakar penjenayah spam paling lama beroperasi di Internet”.

Semalam, Levashov bersetuju mengaku bersalah kepada satu tuduhan menyebabkan kerosakan disengajakan kepada komputer dilindungi, satu tuduhan konspirasi, satu tuduhan penipuan menerusi talian dan satu tuduhan kecurian identiti.

Hukumannya dijadualkan dijatuhkan pada 6 September, 2019. – AFP, 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen