MOSSACK Fonseca, firma undang-undang yang dikaitkan dengan skandal “Kertas Panama” terpaksa menutup kebanyakkan pejabatnya di seluruh dunia kerana perniagaannya terjejas teruk, kata pegawai syarikat itu semalam.
“Kami ada 45 pejabat di seluruh dunia. Sekarang hanya tinggal enam,” kata Jurgen Mossack salah seorang pengasas firma itu tetapi pada masa yang sama menegaskan ibu pejabat tidak menjangka perkara itu akan berlaku.
Sejumlah 11.5 juta rekod digital firma itu dibocorkan sehingga mencetuskan skandal orang kaya dan berpengaruh dunia menggunakan syarikat pesisir pantai untuk menyorokkan aset mereka.
Antara yang terlibat termasuklah ahli perniagaan, ketua kerajaan dan atlit.
Data itu dibocorkan kepada sebuah akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung yang berkongsinya dengan Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasat (ICIJ) dan ia dilaporkan media seluruh dunia sejak 3 April 2016.
Antara yang terlibat ialah bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron; bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi; Presiden Argentina, Mauricio Macri; pengarah filem Sepanyol, Pedro Almodovar dan bintang terkenal Hong Kong, Jackie Chan. Pendedahan itu juga melibatkan lebih daripada 140 ahli politik dan penjawat awam kerajaan seluruh dunia.
Mossack mengakui yang reputasi syarikat itu terjejas teruk.
“Kami terpaksa memecat ramai kakitangan,” katanya.
Sejak skandal itu tercetus tahun lepas, sekurang-kurangnya 150 siasatan dilancarkan di lebih 70 buah negara. – AFP, 3 Ogos, 2017.
Komen