Saya dilantik atas nasihat perdana menteri, kata Maszlee


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pendidikan Maszlee Malik ketika mengadakan pertemuan dengan aktivis mahasiswa yang membantah pelantikannya sebagai presiden UIAM di Petaling Jaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 September, 2018

MENTERI Pelajaran Maszlee Malik menjelaskan pelantikannya sebagai presiden  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah di luar bidang kuasanya.

Ini kerana, pelantikannya dibuat oleh Ketua Perlembagaan UIAM, iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“UIAM tidak tertakluk pada AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), pelantikan saya dilakukan ketua perlembagaan iaitu sultan Pahang buat masa ini yang dilantik (Yang di-Pertuan) Agong. Ketua perlembagaan dapat nasihat daripada perdana menteri.

“Perdana menteri memberi nama dan nasihat kepada ketua perlembagaan untuk melantik dan itu di luar bidang kuasa menteri pelajaran.

“Jadi bila dilantik, bukan saya lantik diri saya sendiri, kalau saya lantik diri sendiri memang saya dah letak jawatan lama,” kata Maszlee ketika sidang medianya di ibu negara hari ini.

Beliau juga mengesahkan akan berbincang dengan Dr Mahathir berhubung isu pelantikannya sebagai pengerusi UIAM dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Pertemuan dengan Dr Mahathir tunggu selepas selesai urusan saya di luar negara, saya akan mempunyai mesyurat Kabinet mungkin saya akan bertemu dan bincang dengan perdana menteri,” kata Maszlee.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu terdahulu bertemu wakil mahasiswa daripada Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (GPAIPT) yang membantah pelantikannya.

Setiausaha politik Maszlee, Wan Saiful Wan Jan, awal bulan lalu berkata, Sultan Ahmad Shah melantik Maszlee untuk jawatan berkenaan.

Lantikan oleh Sultan Pahang sebagai ketua perlembagaan universiti atas nasihat kerajaan, mengikut Perkara 25 Perlembagaan UIAM.

Setiausaha politik Maszlee, Wan Saiful Wan Jan, awal bulan lalu berkata, Sultan Ahmad Shah melantik Maszlee untuk jawatan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018

“Ini amanah oleh head of host (perdana menteri) yang diperkenankan ketua perlembagaan.

“Dr Mahathir sendiri ingin melihat UIAM memainkan peranan penting diperingkat antarabangsa untuk menaika imej Mlaysia dan memberi sumbangan kepada umat Islam.

“Visi kita adalah untuk menjadikan UIAM (seperti Oxford University) negara-negara Islam,” katanya lagi.

Dr Mahathir pada 7 September lalu mempertahankan pelantikan itu kerana menurutnya dibuat mengikut kelayakan dan kebolehan Maszlee.

Namun pada hari berikutnya beliau mengumumkan akan mengkaji semula pelantikan itu selepas menerima bantahan meluas, termasuk dari kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

Kecaman itu timbul kerana Pakatan Harapan sebelum ini berjanji membebaskan instiusi pengajian tinggi daripada campur tangan politik.

Maszlee adalah pensyarah universiti berkenaan sebelum menyertai Bersatu dan bertanding Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau adalah menteri pendidikan ketiga menjawat jawatan itu sejak UIAM ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

Sebelumnya, Rais Yatim, Anwar Ibrahim dan Najib Razak memegang jawatan itu ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Perdana menteri ketiga negara, Hussein Onn adalah presiden pertama. – 12 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen