Mahasiswa beri masa seminggu kepada Maszlee tolak lantikan UIAM


Zaim Ibrahim

Aktivis mahasiswa GPAIPT Asheeq Ali Sethi Alivi (kanan) memberi tempoh tujuh hari kepada Maszlee Malik untuk berundur sebagai presiden UIAM. – Gambar The Malaysian Insight leh Seth Akmal, 12 September, 2018

AKTIVIS mahasiswa memberi tempoh tujuh hari kepada Maszlee Malik untuk menolak lantikan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jurucakap Gabungan Pembebasan Akademik IPT (GPAIPT), Asheeq Ali SethI Alivi berkata beliau kecewa kerana perjumpaan dengan Menteri Pendidikan petang tadi tidak membuahkan sebarang hasil.

Pada pertemuan itu, Maszlee memberitahu kumpulan mahasiswa berkenaan beliau akan terus memegang jawatan sebagai presiden UIAM.

“Sejujurnya kami amat kecewa dengan mesyuarat hari ini. Kami mengharapkan Maszlee akan meletak jawatan serta merta tetapi beliau tidak berbuat demikian.

“Kami beri beliau masa tujuh hari (untuk meletak jawatan) bermula hari ini, kerana beliau memerlukan nasihat daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad,” kata Asheeq Ali dalam satu sidang media bersama kira-kira 100 pelajar universiti dan Maszlee Malik di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, Maszlee perlu berbuat demikian kerana lantikannya dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Asheeq Ali juga mengulangi pendirian pihaknya menolak pelantikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mohd Nizam Morad sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Aktivis mahasiswa GPAIPT sewaktu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik di Petaling Jaya hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 September, 2018

“Kami sentiasa berpegang teguh dengan prinsip kami iaitu pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM dan setiausaha politiknya dalam UUM adalah satu kekejaman terhadap autonomi universiti dan itu bukti yang besar tentang konflik kepentingan,” jelas pelajar tahun akhir jurusan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Maszlee sebelum itu mengadakan perbincangan bersama lebih kurang 100 aktivis mahasiswa mengenai bantahan mereka terhadap lantikan beliau sebagai Presiden UIAM.

Awal pagi Sabtu, Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq dan Nurizzah dibebaskan selepas ditahan hampir enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Dalam reaksinya selepas itu, Maszlee mengumumkan mahu bertemu dengan mahasiswa berkenaan. – 12 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen