BILANGAN penganggur di Korea Selatan mencecah sejuta untuk lapan bulan berturut-turut, mencetuskan kebimbangan terhadap pasaran buruh yang semakin parah meskipun kerajaan berusaha mewujudkan pekerjaan.
Bilangan yang gagal memperoleh pekerjaan pada Ogos seramai 1,133,000 meningkat sebanyak 134,000 berbanding tahun sebelumnya, lapor Xinhua memetik Statistik Korea pada Rabu.
Jumlah itu tertinggi sejak tempoh sama pada 1999 apabila krisis pertukaran asing meningkatkan jumlah penganggur negara kepada 1,364,000 orang.
Kadar pengangguran meningkat kepada 4.0 peratus pada Ogos, dengan kadar yang tidak mempunyai perkerjaan dalam kalangan belia berusia 15 hingga 29 tahun mencatatkan 10.0 peratus berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.
Presiden Moon Jae-in, yang memegang jawatan pada Mei tahun lalu, sebelum ini dilaporkan berkata keutamaan dasar beliau ialah mewujudkan pekerjaan, namun ia masih belum terlaksana.
Kerajaan turut melancarkan pelan belanjawan tambahan sebanyak 3.9 trilion won (AS$3.7 bilion) untuk mewujudkan kira-kira 50,000 pekerjaan untuk belia pada tahun ini, selain membantu pekerja di syarikat pembuat kapal dan kereta di wilayah Selatan yang sedang menjalani proses penstrukturan semula. – Bernama, 12 September, 2018.
Komen