TURKI pada Selasa menyuarakan bantahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan satu ancaman serangan ke atas Idlib, kubu kuat terakhir pemberontak di negara yang terjejas akibat peperangan iaitu Syria, lapor agensi berita China Xinhua.
Persoalan sama ada melancarkan serangan atau sebaliknya ke atas daerah Idlib adalah satu isu utama yang mencetuskan perbezaan pendapat di satu sidang kemuncak di Tehran minggu lepas membabitkan Rusia, Iran dan Turki.
Rusia dan Iran mencadangkan satu opsyen ketenteraan manakala Turki, yang menyokong beberapa kumpulan pembangkang di Idlib, Syria, membantah cadangan itu.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ingin memelihara kawasan itu dan menggesa agar satu gencatan senjata diumumkan dengan segera dan sepenuhnya di bahagian barat laut Syria.
Idlib adalah antara empat kawasan pencegahan peningkatan peperangan yang wujud melalui proses Astana yang dimulakan oleh ketiga-tiga negara tahun lepas di ibu kota Kazakhstan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa operasi ketenteraan di Idlib mungkin meletakkan nyawa kira-kira tiga juta orang, termasuk sejuta kanak-kanak, dalam bahaya. – Bernama, 12 September, 2018.
Komen