ANGKA kematian daripada serangan bunuh diri di Afghanistan meningkat kepada 68 orang, kata phak berkuasa pada Rabu, ketika keganasan terus tercetus di seluruh negara itu menjelang pilihan raya.
Serangan bom pada Selasa di timur wilayah Nangarhar merupakan yang terbaharu dalam siri serangan pemberontak yang menyebabkan ratusan nyawa orang awam dan pasukan keselamatan terkorban.
Letupan berkenaan menyebabkan 165 orang lagi cedera, kata gabenor wilayah berkenaan Ataullah Khogyani.
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap seranagn itu, namun kumpulan Islamic State yang menjalankan kebanyakan serangan pengebom bunuh diri di Afghanistan, aktif di kawasan berkenaan.
Angka kematian itu disahkan oleh jabatan kesihatan di Nagarhar.
Sekumpulan penunjuk perasaan menyekat lebuhraya antara wilayah ibu negara Jalalabad dan sempadan utama Pakistan dalam membantah pelantikan ketua polis tempatan apabila pengebok bunuh diri melancarkan serangannya.
Mangsa yang terkorban dan cedera dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan pikap dan ambulans, menyebabkan doktor dan jururawat menghadapi masalah kerana terpaksa berdepan dengan jumlah pesakit yang ramai.
Salah seorang mangsa yang cedera Zar Khan memberitahu AFP, beliau melihat seorang lelaki keluar daripada kereta dan berlari ke arah penunjuk perasaan.
“Kemudian berlaku letupan dan saya mendapati badan saya dipenuhi darah dan cebisan daging manusia,” katanya yang menerima rawatan di hospital.
Ia merupakan serangan terburuk sejak sebuah ambulans yang sarat dengan bahan letupan diletupkan di sebatang jalan raya yang padat di tengah-tengah Kabul pada Januari lalu, menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.
Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah orang awam dan serangan itu didakwa dilakukan oleh Taliban.
Keganasan terus tercetus di seluruh Afghanistan sejak beberapa minggu lalu ketika Taliban meningkatkan serangan dan kumpulan IS melancarkan serangan di kawasan bandar. – AFP, 12 September, 2018
Komen