KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg mempertahankan keputusannya untuk menjalankan eksperimen bas menggunakan gas hidrogen menggantikan bas awam yang menggunakan diesel dalam rangka dasar negeri hijau.
Dalam ucapannya di persidangan Kejuruteraan STEM Universiti Unimas di Kuching, ketua menteri itu mengatakan penerapan teknologi hidrogen adalah “salah satu cara terkehadapan menuju tenaga bersih”.
“Jika kita tak menuju ke depan, kita akan ketinggalan di belakang (dalam kajian teknologi).”
Beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambil “perkiraan risiko” dalam projek contoh ini.
Sebelum ini, pengkritik utama ketua menteri itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Darat, Koperasi dan Kepenggunaan Chong Chieng Jen menyifatkan eksperimen itu sebagai “tidak praktikal dan keterlaluan”.
Beliau mendesak Abang Johari untuk menilai kembali keputusan tersebut kerana menurutnya teknologi hidrogen belum sepenuhnya matang sekaligus membiarkan kerajaan negeri “membazirkan lebih banyak duit”.
Beliau turut memberikan contoh antara lainnya pembelian bas hidrogen dari Cina dan membina kemudahan bagi tujuan menukar air kepada hidrogen.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii turut menggesa ketua menteri itu menilai kembali keputusan tersebut.
Ahli parlimen itu menggesa ketua menteri membentangkan kepada umum kos projek dan perincian penuh mengenai syarikat China yang dianugerahkan kontrak untuk membekalkan bas-bas hidrogen tersebut. Beliau turut menuntut kerajaan membentangkan kajian kelayakan ekonomi serta analisis keberkesanan kos menggunakan bas hidrogen untuk dibandingkan dengan bas yang menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui lain, seperti bas elektrik.
Beliau mendakwa penerapan teknologi tidak akan mengurangkan kos pengangkutan.
Menurut Yii, air menjadi komponen utama teknologi hidrogen, dan jumlah air terlalu besar di negeri itu dan boleh menyebabkan tenaga elektrik yang diperlukan untuk menukar air kepada hidrogen seterusnya menukarnya semula menjadi elektrik bagi mengecas bateri di dalam bas bukan satu proses yang murah.
Yii juga menggesa kerajaan menjelaskan adakah kajian-kajian keselamatan telah dibuat mengenai bahaya hidrogen jika berlaku kemalangan.
Syarikat China, Foshan Feishi Automobile Manufacture Co Ltd dianugerahkan kontrak untuk membekalkan tiga buah bas bagi projek contoh tersebut.
Abang Johari semalam mengumumkan bas-bas hidrogen tersebut dijangka mula beroperasi di bandar Kuching pada Mac tahun hadapan. – 12 September, 2018.
Komen