Peguam Negara digesa kaji semua undang-undang syariah


Gan Pei Ling

Hukuman sebatan ke atas pasangan lesbian baru-baru ini menjadi berita hangat di media-media antarabangsa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 September, 2018.

PEGUAM Negara harus mengkaji semula undang-undang jenayah syariah di seluruh Negara bagi memastikan ia selari dengan perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa ekoran perbahasan hangat mengenai hukuman sebat terhadap pasangan lesbian baru-bari ini, gesa Gabungan Kumpulan Bertindak untuk Kesaksamaan Gender (JAG).

“Pada masa yang sama, kami gesa semua kerajaan negeri untuk melaksanakan moratorium secepat mungkin mengenai hukuman yang melibatkan penyiksaan,” kata JAG dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka turut mengulang gesaan agar Putrajaya mengiktiraf semua konvensyen hak asasi manusia antarabangsa terutamanya Konvensyen Membantah Penyiksaan PBB.

JAG adalah gabungan 13 kumpulan hak asasi manusia termasuk Women’s Aid Organisation, Sisterws in Islam, Association of Women Lawyers, Sabah Women’s Resource Group dan Sarawak Women for Women Society.

Peguam Honey Tan mengatakan negeri-negeri hanya boleh membuat undang-undang yang diperuntukkan perlembagaan pusat, undang-undang tertinggi negara.

“Walaupun anda mempunyai undang-undang negeri ia tidak bermakna ia selari dengan perlembagaan,” kata Tan yang turut menambah perlembagaan tidak memberi negeri kebebasan penuh untuk menjalankan enakmen undang-undang syariah.

Beliau mengatakan Putrajaya boleh menunjukkan contoh dengan meminda mahkamah syariah mengikut Akta 1965 di Parlimen.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam Rozana Isa juga turut berkata dalam sidang media yang sama bahawa dosa peribadi tidak boleh dianggap sebagai jenayah yang melawan negeri.

Hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap pasangan lesbian yang ditangkap ketika cuba melakukan perbuatan seks di dalam kereta di Terengganu awal bulan ini telah menjadi tajuk utama media antarabangsa. Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah menyatakan penolakan mereka terhadap hukuman yang dianggap sebagai satu penyiksaan. Bagaimanapun Terengganu dan peguam-peguam syariah menganggap hukuman itu diperlukan bagi menangani hubungan sesama jenis di kalangan orang Islam.

Hukuman itu bukan kali pertama dijalankan terhadap wanita di hadapan khalayak di Malaysia. Tiga kes sebatan di khalayak terhadap wanita Islam pernah dijalankan di Sabah pada di antara tahun 2014 dan 2016 . Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan seks tanpa ikatan sah.

JAG telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Peguam Negara Tommy Thomas pada 30 Ogos lalu, setelah Mahkamah Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman maksimum ke atas pasangan lesbian terbabit pada 12 Ogos walaupun ia adalah kesalahan pertama mereka di samping mengaku bersalah di hadapan hakim.

“Dua wanita itu telah mengaku bersalah, ini harus dilihat sebagai tanda penyesalan mereka. Mereka sepatutnya dilayan dengan penuh belas kasihan dan kemaafan. Sebaliknya mereka dihadikan contoh bagi sebuah hukuman berat dengan dijatuhkan hukuman maksimum,” kata JAG di dalam memorandum tersebut.– 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen