SEMALAM Mexico dan Kanada membentangkan terma rundingan yang bertujuan untuk “menjinakkan” Presiden Amerika Donald Trump menjelang rundingan semula ketiga-tiga negara untuk merombak Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta).
Perbincangan untuk menambah baik perjanjian berusia 23 tahun itu yang didakwa Trump memberi kesan buruk kepada industri Amerika dijangka diadakan di Washington pada 16 Ogos.
Pasukan perunding Mexico akan diketuai ahli ekonomi Kenneth Smith, menurut Menteri Ekonomi Ildefonso Guajardo kepada wartawan.
Pasukan Kanada pula akan diketuai dua bekas menteri Kabinet; bekas pemimpin pembangkang Rona Ambrose dan bekas menteri perindustrian James Moore, kata Menteri Luar Chrystia Freeland.
Manakala Amerika Syarikat pula akan diketuai Robert Lighthizer yang berpendirian seperti Trump mahu mencari “perjanjian yang lebih baik untuk Amerika.”
Pendirian Trump mengenai Nafta berubah apabila bersedia untuk berunding kembali berbanding membatalkan perjanjian itu.
Tetapi dia mencetuskan kebimbangan minggu lepas apabila berkata AS akan “membatalkan” perjanjian itu sekiranya mereka tidak mampu memenuhi kemahuan mereka.
Perjanjian perdagangan bebas dengan kuasa ekonomi terbesar dunia itu banyak membantu ekonomi Mexico dan Kanada.
Mexico menghantar 80% eksportnya ke AS, sementara Kanada pula 75%.
Guajardo mengatakan, Mexico sehingga kini percaya yang perjanjian itu memberikan faedah kepada ketiga-tiga negara terlibat.
Mexico mengumumkan empat matlamat untuk rundingan semula itu: memperkukuhkan daya saing Amerika Utara, menggalakkan perdagangan yang “inklusif dan bertanggungjawab” bagi melindungi pekerja dan alam sekitar, memodenkan perjanjian untuk sektor baru naik seperti teknologi dan tenaga baru, dan mengukuhkan hubungan pelaburan dan perdagangan tiga negara.
Matlamat terakhir termasuklah melindungi mekanisme penyelesaian konflik Nafta yang Trump mahu hapuskan. Kanada dan Mexico bertegas supaya mekanisme itu dikekalkan.
Pasukan perunding Kanada terdiri daripada 13 orang pemimpin pelbagai sektor yang paling terkesan dengan Nafta seperti automobil, penternakan dan tenaga. – AFP, 3 Ogos, 2017.
Komen