IS dakwa bertanggungjawab serangan di syarikat minyak Libya


Islamic State mendakwa bertanggungjawab atas serangan bunuh diri semalam terhadap ibu pejabat syarikat minyak Libya (NOC) di Tripoli menyebabkan dua pekerja maut. – Gambar AFP, 12 September, 2018.

KUMPULAN Islamic State (IS) mendakwa bertanggungjawab atas serangan bunuh diri semalam terhadap ibu pejabat syarikat minyak Libya (NOC), yang menyebabkan dua pekerja maut, menurut badan pemantau berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Tiga penyerang mati dalam serangan di pejabat NOC di ibu kota Tripoli, kata IS dalam satu kenyataan yang disiarkan di SITE Intelligence Group yang menjejaki ekstremis.

IS berkata ia menyerang “kepentingan ekonomi kerajaan pro-Crusader di Libya” menyifatkan syarikat minyak itu sebagai sasaran sah yang mendanai “perang terhadap pejuang jihad”.

Perkhidmatan keselamatan Libya pada Isnin berkata dua mayat pengebom bunuh diri ditemui di dalam bangunan NOC.

Dua kakitangan terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan itu, di mana wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Libya menggambarkan ia sebagai “serangan pengganas pengecut”.

Ia serangan terbaru terhadap sektor minyak, yang penting untuk Libya kerana ia 95% perolehan negara itu.

Serangan itu berlaku empat bulan selepas ibu pejabat suruhanjaya pilihan raya Libya di Tripoli diserang pengebom bunuh diri menyebabkan 14 terbunuh dan IS mengaku bertanggungjawab melakukannya. – AFP, 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen