9 cedera dalam letupan sekolah di AS


Sembilan orang cedera dengan seorang mereka berada dalam keadaan kritikal.– Gambar AFP, 3 Ogos, 2017.

SEBUAH letupan yang berpunca daripada gas memusnahkan sebahagian bangunan sekolah di Minnesota, Amerika Syarikat, menyebabkan seorang terbunuh dan mencederakan sembilan yang lain, semalam.

Tetapi semua pelajar terselamat, menurut Minnehaha Academy, sebuah sekolah swasta Kristian di Minneapolis yang mempunyai pelajar dari tadika sehingga gred 12.

Seorang kakitangan sekolah terbunuh dan seorang lagi masih hilang, menurut pegawai kecemasan.

Kejadian berlaku pada pagi Rabu di kawasan baik pulih dalam bangunan sekolah itu.  

Pasukan penyelamat merancang untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat sehingga menjumpai kakitangan yang hilang itu.

“Ia situasi yang membahayakan,” kata ketua bomba Minneapolis, John Fruetel. Pasukan penyelamat juga perlu menstabilkan struktur bangunan sebelum boleh melakukan misi mencari.

Sebahagian daripada dinding bangunan runtuh menimpa bangunan berhampiran.

Daripada sembilan yang dihantar ke hospital, sekurang-kurangnya seorang dalam keadaan kritikal, katanya. – AFP, 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen