Maszlee akan baiki imej Islam, nilai antarabangsa UIAM


SM Amin

Sumber berkata penghakisan imej Islam dan nilai antarabangsa di UIAM bermula sejak 2014 lagi apabila satu tugu keris ditegakkan di depan pintu masuk universiti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2018.

WARGA Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima Maszlee Malik sebagai presiden demi memperbaiki imej dan nilai universiti yang dimusnahkan selama ini, kata sumber.

Sumber menyebut, mereka kesal kerana presiden terdahulu membawa banyak kerosakan sehingga UIAM lebih menonjol sebagai universiti Islam Melayu dan bukannya universiti yang mendukung nilai Islam sejagat. 

“UIAM hilang identiti sebagai universiti Islam antarabangsa. Islam yang dibawa UIAM selama ini Islam antarabangsa, bukannya Islam Melayu,” katanya yang enggan dinamakan.

Sumber berkenaan berkata penghakisan imej Islam dan nilai antarabangsa itu bermula sejak 2014 lagi apabila satu tugu keris ditegakkan di depan pintu masuk universiti itu.

Tugu keris itu menggantikan satu tugu batu bersurat melambangkan bukti kedatangan Islam di nusantara, yang menjadi simbol UIAM sebagai “taman ilmu dan budi” selama ini, kata sumber.

Tugu batu bersurat itu merakam lima ayat awal Surah Al-Iqra, wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad yang menyeru manusia menuntut ilmu, dan juga tanda bermulanya Islam.

Presiden Persatuan Alumni UIAM, Khalek Awang berkata warga UIAM tidak hirau jika pelantikan Maszlee bertentangan dengan manifesto pilihan raya parti kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018.

Malangnya, tugu tersebut dimusnahkan semasa presiden UIAM waktu itu, Rais Yatim. Tugu itu seterusnya diganti dengan tugu keris yang wujud hingga kini.

“Rais kata tugu batu bersurat itu tidak cantik, kena tukar supaya cantik dan kemudian ditukar jadi tugu keris. Tapi kita tidak sangka rupa-rupanya itu yang Rais hendak bawa. 

“Dia bawa jiwa Melayu dalam UIAM. Tafsiran taman ilmu dan budi berubah. Budi digambarkan (sebagai) orang Melayu sedangkan sebenarnya ia membawa maksud amal soleh. 

“Kita sudah serik dengan orang macam Rais,” kata sumber yang berkhidmat di UIAM sejak awal penubuhannya pada 1980-an.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni UIAM Khalek Awang berkata pelantikan Maszlee ke jawatan itu sebagai pilihan yang tepat untuk mengembalikan semula matlamat asal penubuhan UIAM.

Khalek berkata warga UIAM juga berharap Maszlee akan mengembalikan semula Institut Tamadun Islam dan Dunia Melayu bawah universiti itu kepada nama asalnya iaitu Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac).

Nama Istac juga ditukar semasa Rais menjadi presiden kerana menyifatkan kajian Islam di Timur tidak lengkap tanpa kajian ke atas kedudukan Islam di alam Melayu atau Islam di China.

Rais pada waktu itu berkata kajian perlu dibuat mengenai sejarah, ekonomi, budaya dan norma sosial masyarakatnya.

Semasa Rais Yatim menjadi presiden, nama Istac ditukar kepada Institut Tamadun Islam dan Dunia Melayu kerana menyifatkan kajian Islam di Timur tidak lengkap tanpa kajian ke atas kedudukan Islam di alam Melayu atau Islam di China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018.

Katanya, masyarakat Melayu juga perlu kembali berpandu kepada Al-Quran dan menapis unsur Arab dalam amalan kehidupan harian.

Mengulas lanjut, Khalek berkata pelantikan Maszlee sebagai presiden baharu disambut dengan gembira oleh warga UIAM.

“Beliau bekas pensyarah di sini dan beliau sangat arif dengan hala tuju UIAM. Kalau orang lain kita tidak tahulah,” katanya.

Beliau berkata warga UIAM juga tidak hirau jika pelantikan Maszlee bertentangan dengan manifesto pilihan raya parti kerajaan.

“Berkenaan dengan pelanggaran manifesto, di UIAM kami fikir kepimpinan politik dan kerajaan boleh selesaikan perkara itu, yang penting misi dan visi asal penubuhan UIAM itu sendiri yang perlu dikembalikan dan dipertahankan,” katanya.

Pelantikan Maszlee itu masih menjadi kontroversi dan sedang diteliti semula oleh kerajaan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk di kalangan pemimpin parti Pakatan Harapan. – 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen