KESATUAN Eropah (EU) pada Selasa mengutuk hukuman mati yang dikenakan terhadap 75 orang di Mesir dan berkata terdapat “keraguan serius” mengenai sama ada mereka yang didakwa telah diberi perbicaraan yang adil.
Sabtu lepas mahkamah Mesir mengesahkan hukuman yang sebelum ini diluluskan pada Julai berkenaan pertempuran antara pihak berkuasa berkuasa dengan penyokong bekas presiden Mohamed Morsi pada 2013.
Seorang jurucakap khidmat diplomatik EU mengulangi bantahan blok itu terhadap hukuman mati tersebut.
“Keadaan perbicaraan ini menunjukkan keraguan yang serius terhadap proses yang sewajarnya dan hak defendan mendapat perbicaraan adil secara khususnya,” menurut jurucakap berkenaan dalam satu kenyataan.
Kira-kira 739 orang didakwa bersama-sama, di mana kebanyakannya dituduh membunuh polis dan merosakkan harta benda. Hampir 350 orang dikenakan hukuman penjara 15 tahun manakala 47 lagi menerima hukuman penjara seumur hidup.
Wartawan foto terkenal, Mahmoud Abu Zeid yang ditangkap ketika membuat liputan mengenai pertempuran berdarah itu, menerima hukuman penjara lima tahun.
EU berkata ia lega dengan pembebasan Mahmoud tidak lama lagi, namun memberi amaran bahawa syarat-syarat pembebasan beliau “kelihatan tidak selari dengan perlembagaan Mesir dan perjanjian antarabangsa”. – AFP, 11 September, 2018.
Komen