Myanmar lancar kempen menentang wartawan, kata PBB


MYANMAR yang dikritik kerana memenjarakan wartawan Reuters berhubung laporan mereka mengenai pembunuhan etnik Islam Rohingya, kini melancarkan “kempen politik” terhadap kebebasan kewartawanan.

Laporan terkini dari pejabat PBB mengutuk langkah kerajaan Myanmar itu.

PBB mengecam “kegagalan badan kehakiman memberikan mereka yang menjadi sasaran hak untuk dibicarakan dengan adil”.

Pejabat PBB juga berkata sabitan terhadap dua wartawan Reuters, Kyaw Soe Oo dan Wa Lone, sebagai contoh ketidakadilan yang keterlaluan.

Minggu lepas, seorang hakim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas kedua-dua wartawan warga negara Myanmar itu di bawah akta rahsia negara berikutan laporan mengenai krisis Rohingya mereka.

Kira-kira 700,000 minoriti Islam Rohingya lari ke Bangladesh akibat serangan tentera Myanmar pada Ogos tahun lepas.

Menurut laporan PBB, terdapat banyak lagi contoh mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap wartawan dan sumber mereka, yang menunjukkan “trend lebih meluas mengenai penindasan kebebasan bersuara”. – AFP, 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen