Sekolah perempuan di Afghanistan dibom, seorang terbunuh


Letupan pertama berlaku di depan sekolah perempuan Malika Omaira di Jalalabad, ibu negeri Anangarhar sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan. Letupan kedua berlaku ketika pelajar sekolah lelaki berhampiran dan penduduk tempatan pergi ke kawasan bom pertama. Seorang pelajar lelaki terbunuh. – Gambar AFP, 11 September, 2018.

SEORANG budak lelaki terbunuh, empat lagi cedera dalam letupan bom berkembar di luar sebuah sekolah perempuan di timur Afghanistan pada Selasa, kata pegawai dan saksi.

Letupan pertama berlaku di depan sekolah perempuan Malika Omaira di Jalalabad, ibu negeri Anangarhar sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan, kata jurucakap gabenor Ataullah Khogyani kepada AFP.

Bom kedua meletup ketika pelajar sekolah lelaki berhampiran dan penduduk tempatan mula berkumpul di kawasan bom pertama, kata Khogyani.

Saksi memberitahu AFP yang mangsa terbunuh adalah pelajar sekolah lelaki.

“Kami pergi bersama-sama budak lelaki lain untuk lihat apa yang berlaku selepas kami dengar letupan berhampiran sekolah perempuan,” kata Elyas, 12, kepada AFP di hospital.

“Satu letupan terkena kami dan saya cedera (di kaki).

“Saya nampak budak perempuan melarikan diri dari sekolah. Mereka semua panik.

Letupan berkembar itu berlaku sejam selepas sebuah bom meletup di sekolah perempuan Biba Hiwa di daerah Behsood, kata jurucakap Jabatan Pendidikan Jalalabad Asif Shinwari.

Ketika kejadian pelajar masih belum tiba di sekolah dan tiada kematian atau kecederaan, katanya.

Masih tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaru di Nangarhar itu tetapi pengganas Taliban dan IS aktif di kawasan itu.

Kedua-dua kumpulan sudah lama menentang pendidikan kepada wanita menyebabkan penutupan beratus sekolah perempuan di seluruh Afghanistan. – AFP, 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen