POLIS Indonesia menembak mati seroang lelaki dan mencederakan beberapa yang lain dalam pergaduhan membabitkan kumpulan pekerja dan penduduk kerana enggan menghantar seorang lelaki nazak ke hospital.
Pergaduhan tercetus di daerah Deiyai wilayah paling timur di Indonesia pada Selasa selepas penduduk kampung meminta bantuan sekumpulan pekerja di sebuah tapak pembinaan menghantar seorang lelaki ke hospital.
Pekerja di tapak pembinaan itu bagaimanapun enggan kerana bimbang dipersalahkan jika lelaki terbabit mati ketika dalam perjalanan.
Keadaan itu menimbulkan kemarahan penduduk yang kemudiannya bertindak berkumpul di hadapan tapak pembinaan itu selepas lelaki berkenaan meninggal dunia.
Anggota polis yang dikejarkan ke lokasi kejadian terpaksa menembak seorang lelaki berusia 28 tahun dan mencederakan tujuh yang lain termasuk dua kanak-kanak.
Jurucakap polis Papua Ahmad Mustofa Kamal berkata penduduk tempatan bertindak membaling batu ke arah kereta peronda polis menyebabkan 11 anggota cedera.
“Tembakan dilepaskan kerana situasi semakin tegang di mana tiga das tembakan dilepaskan,” kata Kamal kepada AFP dan menambah salah satu daripada tembakan itu mengena Yulius Pigay menyebabkannya terbunuh.
Katanya tembakan seterusnya dilepaskan ke arah tanah namun serpihan daripada peluru itu menyebabkan kecederaan termasuk kepada kanak-kanak. – AFP, 2 Ogos, 2017
Komen