MAYAT seorang pendaki Jerman yang hilang semasa mendaki pergunungan Alps Switzerland 30 tahun lalu ditemui tertimbus dalam glasier, menurut polis hari ini.
Ia ditemui pada 25 Julai lalu oleh dua pendaki di pergunungan Lagginhorn, di selatan Switzerland.
Beberapa ratus meter sebelum mencapai puncak, kedua-dua pendaki menemui “tangan dan sepasang kasut”, kata polis.
Usaha untuk mengeluarkan mayat tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca buruk pada hari itu, tetapi pasukan penyelamat kemudian datang menaiki sebuah helikopter pada keesokan harinya untuk mengeluarkan mayat dan membawanya ke hospital di ibu negeri Bern untuk pengecaman.
Ujian pengecaman mengesahkan pendaki itu adalah seorang warga Jerman yang lahir pada 1943, yang hilang pada 11 Ogos, 1987.
Mayat itu ditemui dua hari selepas mayat pasangan suami isteri dari Switzerland yang hilang ketika berjalan di Alps pada 1942 ditemui dalam glasier yang sedang cair. – AFP, 2 Ogos, 2017.
Komen