Sepanyol mengalah, teruskan kontrak jual bom kepada Arab Saudi


Sepanyol adalah salah sebuah negara Eropah dengan kadar pengangguran tertinggi. Jika krisis diplomatik tercetus dengan Arab Saudi ia boleh memberi kesan kepada beberapa kontrak mewah lain menyebabkan Sepanyol mengalah meneruskan kontrak menjual bom kepada Arab Saudi. – Gambar EPA, 11 September, 2018.

SELEPAS menghalang penjualan 400 bom kepada Arab Saudi yang terlibat dalam konflik di Yaman, Sepanyol nampaknya beralah untuk meneruskan kontrak mewah lain dengan negera gergasi minyak itu, kata pemerhati.

Dengan berbuat demikian, Madrid berharap dalam mengelak kemelut diplomatik seperti yang berlaku antara Riyadh dan Kanada yang dicetuskan kecaman Ottawa ke atas rekod hak asasi manusia Arab Saudi.

Hubungan antara sekutu lama Madrid dan Riyadh diuji minggu lepas selepas Kementerian Pertahanan Sepanyol membatalkan perjanjian 2015 untuk menjual bom dipandu laser kepada Arab Saudi.

Kementerian berkata ia merancang untuk mengembalikan 9.2 juta euro (AS$10.7 juta) yang sudah dibayar Saudi susulan pertempuran dengan pemberontak di Yaman yang sudah membunuh hampir 10,000 orang.

Kemudian wujud laporan yang Riyadh sedang mempertimbangkan untuk membatalkan kontrak bernilai 1.8 juta euro dengan syarikat Sepanyol, Navantia untuk membina lima kapal perang- urus niaga yang menyediakan 6,000 pekerjaan kepada negara yang mempunyai kadar pengangguran antara tertinggi di Eropah.

Kemudian pada Isnin, Menteri Pertahanan Sepanyol Margarita Robles memberitahu supaya perjanjian pembelian bom itu diteruskan.

Beliau berkata kepada kontrak yang diluluskan suruhanjaya Parlimen itu akan diteliti oleh Sepanyol dan Arab Saudi dan segala pertikaian akan diselesaikan dengan baik.

Kita dua negara rapat yang menandatangani kontrak, katanya.

Robles menegaskan yang perjanjian kapal perang itu tidak tergugat kerana ia “tiada kaitan dengan mana-mana kontrak.”

Sepanyol berusaha mengelak krisis diplomatik seperti yang tercetus antara Riyadh dan Ottawa bulan lepas yang menyebabkan kerajaan Saudi mengusir duta Kanada, memanggil balik dutanya dan membekukan semua perdagangan dan pelaburan baharu.

Eduard Soler, penganalisis di badan pemikir CIDOB berkata apa sahaja kemelut hubungan dua negara itu boleh menjejaskan kontrak mewah untuk Sepanyol.

Selain perjanjian membina kapal perang itu, Madrid turut memperolehi kontrak projek kereta api mewah antara Mekah dan Madinah dan kereta api di Riyadh- kontrak yang diperolehi kerana hubungan baik keluarga diraja dua negara itu.

Tetapi ia bukan hanya soal ekonomi.

Kebanyakan 6,000 pekerjaan yang wujud kerana perjanjian kapal perang itu berada di Andalusia, kawasan kubu kuat sosialis di mana pilihan raya dijangka akan diadakan hujung tahun ini.

“Ia kes buku teks klasik di mana kita mendapati politik dalam negara memberi kesan kepada dasar luar dan pertahanan,” kata Soler.

Sejak mula lagi, organisasi hak asasi manusia menentang rancangan penjualan senjata Sepanyol kepada Arab Saudi, berkata yang bom itu boleh digunakan ke atas orang awam di Yaman.

Akta diluluskan Sepanyol pada 2007 membenarkan pembatalan sebarang urus niaga jika ada “petunjuk rasional” yang peralatan pertahanan itu boleh digunakan “untuk tekanan dalam negara atau mencabul hak asasi.”

Pada Isnin, Amnesty International juga meminta Madrid menghentikan penjualan senjata kepada Riyadh.

“Bom sebegitu digunakan dalam berpuluh jenayah perang di Yaman,” kata Alberto Estevez daripada organisasi hak asasi manusia itu. – AFP, 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen