AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengancam menahan dan menghukum hakim serta pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika ia bertindak mendakwa mana-mana warga AS yang berkhidmat di Afghanistan dengan jenayah perang.
Penasihat Keselamatan Negara White House, John Bolton mengatakan badan hak asasi berpangkalan di Hague itu “tidak dapat dipertanggungjawabkan” dan “jelas berbahaya” kepada AS, Israel dan sekutu lain, dan mengatakan siasatan terhadap anggota perkhidmatan AS akan menjadi “penyiasatan tidak berasas dan tidak adil”.
“Sekiranya mahkamah memburu kami, Israel atau sekutu AS lain, kami tidak akan duduk diam,” kata Bolton.
Beliau berkata AS bersedia dengan sekatan kewangan dan tuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai mahkamah jika mereka meneruskan dakwaan terhadap warga Amerika.
“Kami akan mengharamkan para hakim dan pendakwa raya daripada memasuki AS. Kami akan menahan dana mereka dalam sistem kewangan AS dan mendakwa mereka dengan sistem jenayah AS,” kata Bolton.
“Kami akan melakukan perkara yang sama terhadap mana-mana syarikat atau negara yang membantu siasatan ICC terhadap rakyat Amerika.”
Bolton membuat komen itu semasa berucap di Washington kepada Persatuan Federalis, sebuah persatuan konservatif yang kuat.
Bolton merujuk kepada permintaan pendakwa raya ICC pada November 2017 untuk membuka siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh pegawai tentera dan perisikan AS di Afghanistan terutama mengenai penderaan tahanan.
Tiada pihak Afghanistan atau mana-mana kerajaan lain memohon siasatan terhadap ICC, kata Bolton.
Beliau berkata ICC secara rasmi boleh membuka siasatan pada bila-bila masa.
Beliau juga memetik satu langkah terbaru oleh pemimpin Palestin untuk mendakwa pegawai Israel di ICC kerana pelanggaran hak asasi manusia. – AFP, 11 September, 2018.
Komen