Penjara di Brazil diserang, 100 tahanan lari


Pihak polis berjaya menangkap semula 41 daripada 105 banduan yang berjaya melarikan diri apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang penjara Romeu Goncalves Abrantes. – Gambar EPA, 11 September, 2018.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata memusnahkan tembok depan penjara keselamatan maksimum di timur laut Brazil awal Isnin dan dengan senjata api menyebabkan lebih 100 tahanan melarikan diri, kata pihak berkuasa.

Pegawai berkata serangan itu dilakukan oleh kira-kira 20 orang yang menaiki empat kenderaan, yang menembak pengawal di menara kawalan dan menggunakan bahan peledak untuk meletupkan pintu depan penjara Romeu Goncalves Abrantes.

Penjara dengan keselamatan maksimum yang menahan 680 penghuni, terletak di Joao Pessoa, Paraiba.

“Lelaki bersenjata memusnahkan pintu utama selepas berbalas tembakan dengan polis dan pegawai penjara,” kata sekretariat penjara negeri.

Menjelang tengah hari, 41 daripada 105 tahanan yang melarikan diri berjaya ditangkap semula apabila pasukan keselamatan mengadakan sekatan, menutup sekolah dan pusat perubatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Brazil mempunyai populasi penjara ketiga terbesar di dunia, dengan 726,712 penghuni pada Jun 2016, menurut statistik rasmi.

Jumlah itu adalah dua kali ganda daripada kapasiti penjara negara, yang pada 2016 dianggarkan mempunyai 368,049 penghuni.

Seiring dengan keadaan yang sesak, penjara Brazil bertambah teruk dengan keganasan geng. – AFP, 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen