Naib presiden pimpin Umno 3 negeri sehingga isu kepimpinan selesai


SM Amin

Umno di Selangor, Terengganu dan Perlis mengalami krisis kepimpinan kerana kegagalan mencapai kata sepakat menamakan ketua mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

TIGA naib presiden Umno mengetuai parti itu di tiga negeri kerana pemimpin di Selangor, Terengganu dan Perlis gagal mencapai kata sepakat menamakan ketua mereka sendiri, kata beberapa sumber.

Tugas yang diberikan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi itu bagaimanapun bersifat sementara sehingga pimpinan negeri dapat mencapai kata sepakat untuk melantik pengerusi yang baru, kata Ismail Sabri Yaakob yang diamanahkan mengetuai Selangor.

Selain Ismail, juga ketua bahagian Bera di Pahang, bekas menteri besar Johor Khaled Nordin mengetuai Umno Perlis dan Mahadzir Khalid dari Kedah memimpin Umno Terengganu.

Ismail mengesahkan mandat itu sementara dan sehingga ini belum ada tarikh untuk beliau menyerahkan jawatan tersebut kepada pengerusi yang baru yang dipilih dari kalangan pimpinan Umno Selangor itu.

Pimpinan Umno pusat juga tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan ketua baru negeri, sama ada dibuat melalui undian atau sebulat suara, tambah Ismail.

“Terpulang kepada negeri masing-masing. Kita tidak ada menetapkan bagaimana cara hendak memilih (pengerusi negeri).

“Mungkin kalau memilih cara pengundian itu terbaik, maka kita buat pengundian. Mungkin boleh bincang sama-sama sendiri, terserah pada negeri.

“Kalau dah bincang, kita semua setuju dengan calon A, calon A lah kita umum. Tapi kita akan maklum kepada presiden parti sebab pelantikan itu oleh presiden,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob diamanahkan mengetuai Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Pelantikan Ismail dikatakan mendapat kritikan majoriti 22 ketua bahagian Umno Selangor kerana Zahid tidak berbincang dahulu dengan kepimpinan negeri sedia ada.

Seorang ketua bahagian di Selangor bagaimanapun menjelaskan dakwaan itu timbul kerana ada dalam kalangan ketua bahagian yang merasakan mereka lebih layak untuk diberi peluang menerajui kepimpinan negeri.

Selepas pemilihan bahagian Umno pada Jun lalu, 11 ketua bahagian kekal di Selangor sementara 11 bahagian lagi diterajui muka baru.

“Yang menolak (Ismail) ini ada beberapa orang sahaja sebab mereka ingat selepas Noh Omar lepas jawatan dulu, mereka yang akan dapat jawatan pengerusi negeri. Kononnya mereka orang lama.

“Mereka bertanding (Pilihan Raya Umum ke-14) pun kalah. Mereka perlu sedar rakyat pun tidak yakin dengan mereka.

“Jika Umno hendak bangkit segera, kita perlukan orang yang ada karisma dan muka baru,” kata sumber Umno Selangor itu.

Sentimen menolak naib presiden sebagai teraju Umno negeri juga berlaku di Perlis dan Terengganu, lapor media sebelum ini.

Ada dalam kalangan pimpinan Umno di Perlis menganggap lantikan Khaled menggantikan Shahidan Kassim seolah-olah tidak mengiktiraf keupayaan pemimpin yang ada di negeri, walaupun Perlis hanya ada tiga bahagian Umno.

Bekas timbalan ketua Umno Arau, Ismail Kassim mendakwa lantikan Khaled satu hukuman kepada Umno Perlis kerana tidak menyokong penuh Zahid semasa pemilihan jawatan presiden Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan naib presiden parti mengetuai 3 negeri sehingga pimpinan negeri mencapai kata sepakat melantik pengerusi baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Pada pemilihan itu, Arau dan Padang Besar memilih Khairy Jamaluddin sementara hanya Kangar mengangkat Zahid sebagai presiden Umno.

Ismail yang kini wakil rakyat Bebas juga mempersoalkan kenapa Khaled yang kalah PRU14 di Johor diberi tugas memimpin negeri yang Umno menang.

Khaled bagaimanapun menyifatkan isu tidak puas hati adalah perkara biasa dalam politik.

Keadaan di Terengganu sedikit berbeza kerana hanya tiga ketua bahagian kekal manakala tujuh bahagian kini diketuai muka baru.

“Kita kena beri masa kepada mereka,” kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa sebelum ini, merujuk pada pengalaman pimpinan negeri itu. – 11 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen