Kubu penentang Syria digempur, 30,000 penduduk jadi pelarian


Gambar fail bertarikh 28 Ogos 2017 menunjukkan pelarian Syria di pintu sempadan Oncupinar dekat pekan Kilis di selatan Turki. – Gambar AFP, 10 September, 2018.

PERTEMPURAN terbaharu yang meletus di wilayah Hamad dan Idlib, barat laut Syria sejak awal bulan ini memaksa lebih 30,000 penduduk menjadi pelarian, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Tentera kerajaan dan sekutunya, Rusia memperhebatkan serangan udara sejak beberapa hari lalu di kedua-dua wilayah yang merupakan kubu kuat kumpulan penentang.

“Kami amat bimbang tentang keganasan yang semakin berleluasa baru-baru ini, sehingga memaksa lebih 30,000 penduduk menjadi pelarian,” kata jurucakap agensi koordinasi kemanusiaan PBB David Swanson.

“Kami memantau rapi situasi tersebut,” katanya.

Idlib dan kawasan sekitarnya sebelum ini dihuni kira-kira tiga juta penduduk, namun separuh daripadanya sudah berpindah ke lokasi lain di Syria.

“Bermula 1 hingga 9 September, seramai 30,542 wanita, kanak-kanak dan lelaki berpindah dari selatan dan barat daya Idlib selain utara dan timur laut Hama,” kata Swanson.

“Majoriti pelarian tiba di utara Idlib untuk berlindung di kawasan penduduk yang terletak berhampiran sempadan Syria-Turki,” katanya. 

Sejak perang saudara meletus di Syria, lebih 350,000 orang terbunuh dan berjuta lagi menjadi pelarian. – AFP, 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen