AS tutup pejabat Palestin di Washington


Pejabat PLO di Washington ditutup susulan pertikaian antara pucuk pimpinan Palestin dan Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 10 September, 2018.

AMERIKA SYARIKAT mengambil keputusan untuk menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington sebagai langkah menentang negara Islam itu oleh Presiden Donald Trump.

Keputusan itu dibuat selepas Trump mendesak kepimpinan Palestin yang telah memutuskan hubungan dengan Rumah Putih, untuk berunding mencari jalan perdamaian di Asia Barat.

Malah AS turut berang dengan usaha Palestin mengheret sekutu kuat Washington, Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang.

Pegawai kerajaan Palestin berkata tindakan AS itu ada kaitan dengan kempen mereka di ICC.

“Kita telah dimaklumkan oleh pegawai AS tentang keputusan mereka untuk menutup pejabat Palestin di AS,” kata setiausaha agung PLO Saed Erekat dalam satu kenyataan.

“Tindakan ini mengesahkan lagi dasar pentadbiran Trump yang mahu menghukum rakyat Palestin selepas mereka memotong bantuan kewangan bagi misi kemanusiaan di negara kami termasuk dana kesihatan dan pendidikan.”

Mengikut undang-undang AS, PLO perlu memohon kelulusan setiap enam bulan bagi memastikan pejabat mereka di Washington terus beroperasi.

Kerajaan AS menuduh pemimpin Palestin melanggar perjanjian dengan cubaan mengheret Israel ke ICC.

Keputusan Washington itu dibuat menjelang ulang tahun ke-25 perjanjian Oslo pada 13 September ini yang menyaksikan usaha Rumah Putih menjadi orang tengah dalam perjanjian damai antara Israel dan Palestin pada 1993. – AFP, 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen