SEORANG lelaki yang memegang pisau dan batang besi mencederakan tujuh orang termasuk tiga pelancong di Paris, dalam satu serangan di mana orang awam cuba menghentikannya dengan membaling bola ke arah penyerang itu.
Polis berkata empat mangsa cedera parah selepas lelaki terbabit dipercayai warga Afghanistan mengamuk di kawasan berhampiran ibu kota itu petang semalam.
Dua pelancong Britain, seorang pelancong Mesir dan lelaki tempatan antara yang cedera, kata polis.
Suspek itu dipercayai berusia 30-an, ditahan oleh orang ramai dan tidak sedarkan diri ketika pegawai polis tiba di tempat kejadian dan membawanya ke hospital.
Sumber rapat dengan siasatan itu berkata walaupun suspek menyasarkan kepada warga asing, pada masa ini tidak dapat disahkan insiden itu satu serangan pengganas.
Suasana bertukar kecoh di Bassin de la Villette, satu kawasan popular dikunjungi masyarakat tempatan dan pelawat yang menjamu selera di kafe, serta menonton wayang dan pelbagai acara kebudayaan di sepanjang tebing sungai itu.
Saksi berkata suspek membawa pisau sepanjang 25-30cm. – AFP, 10 September, 2018.
Komen