CHINA menyuarakan harapan agar Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) segera memeterai perjanjian nuklear selepas kedua-dua pemimpin negara itu bertemu di Singapura pada Jun lalu.
Pegawai tertinggi badan perundangan China, Li Zhanshu yang dihantar oleh Presiden Xi Jinping ke Pyongyang pada Ahad, berkata Beijing amat komited dalam memastikan ancaman perang nuklear di semenanjung Korea boleh dihentikan.
“Kita sangat menghargai usaha Korea Utara untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau dikekalkan,” kata Li.
Li berharap Pyongyang dan Washington akan melaksanakan sesuatu hasil pertemuan antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump di Singapura pada Jun lalu dan meneruskan rundingan damai.
Trump dan Kim mencapai persetujuan untuk memastikan semenanjung Korea bebas dari ancaman nuklear tetapi tiada perjanjian konkrit dimeterai setakat ini.
Sebaliknya, Trump menuduh Beijing yang merupakan satu-satunya sekutu kuat Korea Utara, cuba mengeruhkan hubungan antara Washington dan Pyongyang.
Semalam, Korea Utara tidak mempamerkan senjata peluru berpandu balistik pada perarakan tentera, langkah yang dipuji oleh Trump dan disifatkan sebagai petanda positif. – AFP, 10 September, 2018.
Komen