TUJUH belas tahun berlalu, lebih 1,100 mangsa serangan pesawat yang dirampas dan kemudian menghempas bangunan World Trade Center masih belum dapat dikenal pasti.
Tetapi di sebuah makmal di New York, satu pasukan masih berusaha bekerja keras mengenal pasti mayat, dengan perkembangan teknologi. Setiap hari, mereka mengulangi protokol yang sama berulang-ulang kali.
Pada mulanya, mereka memeriksa fragmen tulang yang ditemui dalam runtuhan menara berkembar itu. Ia masih tidak dapat menepati mana-mana DNA.
Dipotong dan dijadikan serbuk, tulang itu kemudian dicampurkan dengan dua jenis bahan kimia yang tujuannya untuk mengekstrak DNA. Tetapi kejayaan tidak dapat dijamin.
“Tulang ialah bahan biologi yang paling sukar dikendalikan,” kata Mark Desire, pembantu pengarah forensik biologi di pejabat pemeriksaan perubatan di New York.
Sebanyak 22,000 bahagian mayat manusia ditemui di tempat kejadian sejak serangan itu sudah diuji – ada yang diuji sebanyak 10 atau 15 kali.
Setakat ini, hanya 1,642 daripada 2,753 mangsa yang maut dalam serangan itu dikenal pasti secara rasmi. Baki 1,111 masih belum dapat dikenal pasti.
Kadangkala beberapa tahun berlalu dan makmal masih tidak dapat mengenal pasti sesiapa pun, tetapi mereka tidak berputus asa.
Pada Julai, hampir setahun selepas kali terakhir ada mangsa dapat dikenal pasti, makmal itu berjaya menambah satu lagi DNA yang dapat dikenal pasti iaitu Scott Michael Johnson, 26, seorang penganalisis kewangan yang bekerja di tingkat 89 di menara selatan.
“Saya rasa lega,” kata Veronica Cano, salah seorang pakar jenayah dalam pasukan itu.
“Kami dilatih untuk tidak rasa terikat, tetapi kadangkala kami rasa terkesan kerana ia sesuatu yang memberi kesan kepada semua orang. Tetapi saya cuba profesional dan memberikan penutup kepada keluarga.”
Makmal itu mengkhususkan sebahagian kerja untuk mengenal pasti identiti mangsa 9/11 dan pada masa sama mengendalikan kes kematian dan kehilangan lain.
Kerja pasukan itu dijalankan di pejabat berasingan terletak kira-kira 2km dari kawasan yang dulu dikenali sebagai Ground Zero.
Keluarga mangsa kadangkala singgah di makmal itu.
“Sukar untuk tidak emosional kerana mereka akan memeluk dan mengucapkan terima kasih,” kata Cano. – AFP, 10 September, 2018.
Komen