PAKAR bedah Bangladesh menjalani satu pembedahan rumit yang disifatkan kejayaan pertama mereka memisahkan pasangan bayi kembar siam.
Pasangan bayi kembar perempuan Tofa dan Tahura berusia 10 bulan dilahirkan bercantum pada rektum dan tulang belakang, berjaya dipisahkan sekumpulan doktor pakar pada Selasa di hospital terbesar Bangladesh di Dhaka.
Pakar bedah pediatrik Abdul Hanif berkata, pasangan kembar berkenaan dalam keadaan stabil selepas menjalani prosedur pembedahan yang memakan masa 9 jam.
“Ini merupakan kali pertama kami berjaya emisahkan kembar siam di Bangladesh,” kata Hanif dari Hospital Kolej Perubatan Dhaka kepada AFP.
“Ia merupakan pembedahan bersejarah dalam bidang perubatan di negara kami. Pembedahan itu sangat rumit.”
Pasangan bayi berkenaan bagaimanapun akan melalui dua lagi pembedahan bagi menstrukturkan semula organ dalaman mereka, tambah Hanif.
Pembedahan terbabit adalah “100% berjaya” namun pasangan bayi kembar terbabit perlu berada dalam rawatan rapi untuk satu jangka masa bagi memastikan tiada sebarang jangkitan, kata seorang lagi doktor, Shahnoor Islam.
Ibu kepada bayi berkenaan Shahida Begum, melahirkan rasa gembira atas kejayaan pembedahan itu.
“Doktor memberitahu pembedahan itu berjaya, namun masih lagi dalam tempoh berisiko. Saya doakan kedua-dua anak saya cepat sembuh.”
Kini satu lagi pasangan kembar siam yang bercantum di bahagian kepada dan berkongsi otak masih dalam pemantauan untuk pembedahan.
Kumpulan pakar bedah terbabit masih berbincang dengan pakar dari negara luar berhubung risiko dan kerumitan pembedahan terbabit. – AFP, 2 Ogos, 2017.
Komen