SHAHID Khaqan Abbasi semalam mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-28 Pakistan, selepas memperoleh majoriti besar menerusi pemilihan di Parlimen, lapor agensi berita China Xinhua.
Abbasi dipilih empat hari selepas Mahkamah Agung menyingkirkan bekas perdana menteri Nawaz Sharif atas dakwaan terbabit rasuah.
Beliau ahli parti pemerintah Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PMLN).
Semasa berucap selepas dipilih perdana menteri baharu, beliau mengkritik keputusan Mahkamah Agung menyingkirkan Nawaz.
Katanya, Nawaz tidak pernah terlibat dalam rasuah dan akan dipilih semula sebagai perdana menteri negara pada masa akan datang.
Mengulas mengenai ekonomi negara, beliau berkata satu agenda utama berada di fikirannya ialah meningkatkan cukai negara dan menjadikan amalan membayar cukai sebagai satu budaya.
“Persepsi sekarang ialah membayar cukai adalah pilihan. Sekiranya Kabinet meluluskan, saya akan menetapkan cukai bukan sebagai pilihan dan mereka yang hidup mewah tetapi membuat bayaran tidak setimpal bakal berdepan tindakan,” katanya.
Selain itu, selepas November tahun ini, beliau berjanji untuk menyelesaikan isu bekalan tenaga elektrik selain berjanji terus memudahcarakan sistem pelaburan dan projek pembangunan negara.
Perdana menteri baharu itu juga berikrar menyediakan kemudahan rawatan dan kebajikan lebih baik untuk para petani kerana sektor pertanian tulang belakang Pakistan.
Mengenai isu keselamatan negara, beliau berkata kerajaannya akan menarik balik semua lesen memiliki senjata automatik kepada orang awam dan kerajaan akan membayar ganti rugi kepada pemilik lesen yang terlibat.
Aspek kehidupan sosial pula, beliau akan memberi penekanan kepada pendidikan berkualiti untuk masyarakat dan mahu bidang itu terus dipertingkatkan. – Bernama, 2 Ogos, 2017.
Komen