MAYAT tiga kanak-kanak prasekolah adalah antara lima yang ditemui di rumah pinggir bandar Australia, pihak berkuasa mengesahkannya pada Isnin.
Polis menemui mayat kanak-kanak, dan juga ibu serta nenek mereka di rumah keluarga dekat bandar Perth.
Pendedahakn itu diketahui selepas seorang lelaki, berusia 20-an, datang ke balai polis menyerah diri pada pagi Ahad, kata para penyiasat.
Polis Australia Barat hari ini mengatakan “lima yang dibunuh adalah kanak-kanak kembar berusia dua tahun, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun setengah, ibu dan nenek mereka”.
“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan polis. Tiada pertuduhan dikenakan pada masa ini.”
Tiada butiran lanjut tentang bila dan bagaimana mereka dibunuh, atau hubungan dengan lelaki itu, dikeluarkan.
Seorang jiran memberitahu stesen penyiaran ABC, beliau kembali dari percutian dan menyedari suasana sunyi di kawasan kejiranan.
“Kami menyedari rumah sebelah agak sunyi, yang merupakan suatu perkara luar biasa, kerana mereka mempunyai anak-anak kecil,” kata Richard Fairbrother, yang tinggal bersebelahan rumah keluarga terbabit.
“Kami ada kawan-kawan yang tinggal di sini yang turut memberitahu mereka tidak melihat atau mendengar sesiapa di rumah sebelah selama seminggu kami tiada…kami biasanya mendengar dan melihat kanak-kanak bermain di belakang rumah.”
Pembunuhan beramai-ramai jarang berlaku di Australia, tetapi ia kelihatan seperti tragedi keluarga ketiga yang berlaku di Australia Barat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Julai seorang lelaki dikatakan membunuh ibunya dan dua adik-beradiknya. Seorang datuk menembak mati isterinya, anak perempuan dan empat cucu dalam kes pembunuhan-bunuh diri pada Mei. – AFP, 10 September, 2018.
Komen