Pewaris Samsung beri keterangan nafi tuduhan rasuah


Lee Jae-Yong tiba di pejabat Majlis Bebas di Seoul, Korea untuk disoal siasat berhubung dakwaan rasuah ke atasnya. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2017.

PEWARIS kepada syarikat pembuat telefon pintar terkemuka dunia, Samsung memberi keterangan di mahkamah hari ini dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya, menjawab soalan pendakwa raya berhubung skandal yang menjatuhkan bekas presiden Korea Selatan.

Ini kali pertama Naib Presiden Samsung Electronics Lee Jae-Yong yang juga anak lelaki Pengerusi Kumpulan Samsung Group Lee Kun-Hee, berdepan soal siasat sejak prosiding berprofil tinggi itu bermula pada Mac.

Lee, 49, ditahan sementara perbicaraan berlangsung, memberi keterangan dari kandang saksi di mahkamah di Seoul.

Lee dan empat eksekutif Samsung didakwa memberi rasuah jutaan dolar kepada Presiden Park Geun-Hye untuk memudahkan perjanjian penggabungan perniagaan pada 2015.

Penggabungan itu bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul dalam peralihan kuasa kepada Lee daripada bapanya.

Park juga berdepan dengan 18 lagi tuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pemerasan.

Park secara rasminya digugurkan daripada kuasa pada Mac selepas rakyat marah dan mempersoalkan hubungannya dengan Choi Soon-Sil hingga menimbulkan bantahan secara besar-besaran di seluruh negara itu.

Choi yang merupakan anak perempuan kepada mentor Park, kini dibicarakan kerana mempergunakan kuasanya untuk menyekat firma dari Korea Selatan termasuk Samsung “menderma” hampir AS$70 juta kepada yayasan bukan berasaskan keuntungan di bawah kawalannya.

Park bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan menyalahkan Choi kerana mempergunakan hubungan persahabatan mereka untuk kepentingan diri.

Lee yang turut menafikan tuduhan itu berkata dia tidak menyedari pembabitan Choi sehinggalah baru-baru ini dan Samsung diberi tekanan untuk membayar wang dan tiada apa-apa polisi keuntungan sebagai balasan. 

Bekas naib pengerusi Samsung Electronics yang juga defendan Choi Gee-Sung, mengaku bersalah dalam keterangannya pada Rabu dan berkata Lee tidak terbabit dalam membuat keputusan perniagaan yang dibuat eksekutif kanan lain termasuk dirinya. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen