PENGENALAN cukai jualan dan perkhidmatan (SST), disamping kos sara hidup, dan dasar kerajaan yang belum jelas dipercayai menjadi punca pengundi tentera dan polis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mengundi pembangkang berbanding parti kerajaan.
Anggota tentera di Pengkalan Udara Subang berkata kepada The Malaysian Insight, walaupun sukakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun situasi semasa sejak muka memerintah tidak seperti digambarkan menyebabkan mereka kecewa.
“Memang ramai mereka (tentera) undi PAS (kali ini). Lagipun kita setia pada Yang di-Pertuan Agong, bukan kerajaan,” kata seorang anggota tentera, dengan syarat identitinya tidak didedahkan.
Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sabtu lalu menyaksikan calon parti kerajaan, Halimey Abu Bakar daripada PKR memenangi kerusi berkenaan menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali.
Halimey memenangi kerusi itu dengan kelebihan 4,027 undi apabila medapat 13,725 undi manakala Halimah 9,698 undi.
Namun, ia merupakan peningkatan ketara daripada 4,563 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Daripada jumlah itu, hampir 68% anggota keselamatan memilih PAS berbanding PH apabila parti Islam itu memperolehi 1,274 undi anggota keselamatan, manakala PH hanya memperolehi 864 undi.

Pada PRU14, PAS hanya memperolehi 518 undi anggota keselamatan, Barisan Nasional (BN), memperolehi 798 undi, manakala PH 703 undi.
“Dulu cukai barang dan perkhidnatan (GST) 6%, sekarang SST 10%...apa betul kerajaan hari ini.
“Kita lihat dari segi polisi, penetapan dasar, masih belum jelas. Mereka (tentera) masih ikut cakap kerajaan tapi menteri tidak ikut cakap rakyat. (Menteri Pertahanan Mohamad Sabu) Abang Mat okay, macam itulah dia,” kata anggota tentera berpangkat Sarjan berumur 52 tahun itu.
Perkara itu turut diakui penyelidik, yang berpendapat undi komuniti Melayu kepada PH dalam PRU14 bukanlah bersandarkan kepada agenda perubahan yang dibawa mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal undian Melayu ke atas PH pada PRU14 tidak ‘genuine’ atas nama perubahan berbanding skala besar ditunjukkan pada penolakan terhadap isu kleptokrasi dan protes kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
“Bagi trend pengundian tentera dan askar pada PRU14 perubahan dikesan atas beberapa isu utama tetapi perubahan tidak menyeluruh seperti kos sara hidup yang meningkat, harga barang dan GST dan isu keselamatan dan kedaulatan negara, seperti isu melibatkan perjanjian jual beli Malaysia-China,” katanya.
Tambahnya, pasca PRU14, PH masih gagal menterjemahkan tuntutan janji manifesto secara maksimum, harga barang dan sara hidup masih kekal sedia ada.
“Majoriti anggota bawahan dihimpit beban sara hidup dengan tanggungan isi rumah yang besar.
“Dogma perkauman masih lagi belum dapat dikikis seluruhnya di kalangan askar dan polis dalam konteks Malaysia Baru walaupun kerajaan telah berubah.

“Ditambah dengan isu berkaitan Melayu-Islam kerana doktrin askar adalah kesetiaan kepada agama, raja dan bangsa sedikit sebanyak serangan bertali arus pembangkang atas segala isu yang berkait tampak memberi implikasi terhadap undi,” katanya.
Seorang lagi anggota tentera berkata, ramai kalangan mereka berasa tidak puas hati berkenaan kos kehidupan berbanding isu politik.
“Ramai orang tidak puas hati macam itulah (kos sara hidup dan SST), bukan isu manifesto janji 100 hari pun.
“Orang suka kerajaan baru tapi mereka tidak nampak seperti yang digambarkan,” kata anggota berusia 23 tahun itu. – 10 September, 2018.
Komen