Jack Ma letak jawatan tahun depan


Pengasas syarikat Internet terkemuka dunia Alibaba, Jack Ma mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada 10 September 2019. – Gambar EPA, 10 September, 2018.

PENGASAS dan pengerusi Alibaba, Jack Ma akan melepaskan jawatannya sebagai ketua gergasi e-dagang pada 10 September 2019, kata syarikat itu pada Isnin.

Ma akan kekal menjadi pengerusi eksekutif selama 12 bulan untuk “memastikan peralihan lancar” sebelum menyerahkan jawatannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Daniel Zhang, menurut Alibaba dalam satu kenyataan.

“Bagi tempoh 12 bulan sebagai pengerusi eksekutif, saya akan bekerjasama dengan Daniel untuk memastikan peralihan yang lancar dan berjaya,” kata Ma dalam kenyataan itu.

“Selepas itu, saya akan kekal dalam lembaga pengarah Alibaba sehingga mesyuarat pemegang saham tahunan kami pada 2020.”

Ma, yang berumur 54 tahun pada Isnin, adalah seorang guru bahasa Inggeris sebelum memulakan Alibaba pada 1999 dan membangunkannya sehingga menjadi syarikat gergasi Internet multi-bilion dolar dan menjadi antara individu terkaya dunia serta dihormati di tanah air.

Kenyataan itu tidak menyatakan dengan jelas rancangan Ma selepas melepaskan jawatannya tetapi ia berkata beliau mahu “kembali kepada dunia pendidikan”.

“Bagi diri saya, saya masih mempunyai banyak impian untuk dicapai. Mereka yang mengenali tahu saya tidak suka duduk diam,” katanya.

Nilai kekayaannya meningkat selaras dengan perkembangan syarikat dan dinilai pada AS$420.8 bilion (RM1.75 trilion) apabila pasaran saham ditutup Jumaat lalu.

Ma melepaskan jawatan CEO Alibaba pada 2013 tetapi kekal sebagai tokoh penting dalam syarikat itu.

Dalam temu bual dengan Bloomberg TV yang dikeluarkan pada Jumaat, Ma membayangkan rancangan persaraannya, mengatakan beliau mahu mengikut jejak langkah pengasas Microsoft, Bill Gates, salah seorang dermawan prolifik di dunia. – AFP, 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen