PEMIMPIN pembangkang Kemboja, Kem Sokha dibebaskan dari penjara pada awal Isnin selepas setahun dipenjarakan atas tuduhan khianat, kata peguamnya, ketika penguasa kuat negara itu melonggarkan cengkamannya terhadap pihak lawan selepas memenangi pilihan raya.
“Kem Sokha pulang ke rumah pada pukul 3.30 pagi,” kata peguamnya Chan Chen kepada AFP selepas dibebaskan dari penjara yang terletak jauh di sempadan.
Seorang pegawai mahkamah, dengan syarat namanya tidak disiarkan berkata Kem Sokha dibebaskan dengan ikat jamin walaupun peguamnya tidak dapat segera mengesahkan syarat pembebasannya.
Beliau ditangkap pada 3 September 2017, dan dituduh sebagai khianat ketika Perdana Menteri Kemboja Hun Sen meneruskan tindakan keras terhadap pencabar politiknya.
Tuduhan terhadap Kem Sokha dilihat sebagai bermotivasi politik dan hanya dua bulan selepas Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja - satu-satunya pesaing serius kepada Hun Sen - dibubarkan oleh mahkamah.
Ia memberi parti pemerintah kemenangan terhadap semua 125 kerusi Parlimen pada pilihan raya Julai lalu, menjadikan negara itu menjadi negara satu parti dan melanjutkan tempoh 33 tahun kuasa Hun Sen. – AFP, 10 September, 2018.
Komen