7 cedera serangan pisau di Paris


Suspek serangan berjaya ditangkap oleh pihak polis Paris dan dipercayai merupakan seorang warga Afghanistan. – Gambar EPA, 10 September, 2018.

TUJUH orang termasuk dua pelancong British di Paris cedera pada Ahad apabila diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau dan batang besi, menurut polis dan sumber lain.

“Ketika ini, tiada tanda menunjukkan ia serangan pengganas,” kata sumber yang dekat dengan pihak siasatan, sambil menambah suspek berjaya ditangkap dan dipercayai warga Afghanistan.

Daripada tujuh yang cedera, empat berada dalam keadaan kritikal, kata polis.

Insiden itu berlaku sejurus selepas jam 11.00 malam (2100 GMT) di tebing terusan di timur laut ibu negara.

Pengawal keselamatan di sebuah pawagam di Canal de l’Ourcq berkata beliau melihat penyerang dikejar oleh dua lelaki lain yang cuba menghentikannya.

“Beliau membawa batang besi yang dilemparkannya kepada lelaki yang mengejarnya dan kemudian mengeluarkan pisau,” katanya kepada AFP.

Siasatan polis dilancarkan kerana cubaan membunuh, menurut sumber kehakiman. – AFP, 10 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen