Pembangkang serah petisyen bantah lanjutan ketua hakim pada Agong


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang lain menghantar petisyen di Istana Negara hari ini, memohon bantuan Yang di-Pertuan Agong dalam isu bantahan khidmat ketua hakim negara dilanjutkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Ogos, 2017.

PEMIMPIN pembangkang hari ini menyerahkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mencabar keputusan Perdana Menteri Najib Razak untuk mengekalkan jawatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Makinudin.

Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata pembangkang memohon Agong menggunakan budi bicaranya di bawah Artikel 130 untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mempersoalkan sama ada pelantikan itu mengikut perlembagaan atau tidak.

“Lanjutan khidmat Raus sebagai ketua hakim akan berkuat kuasa mulai 4 Ogos. Jika isu itu tidak ditangani segera, ia akan mencetuskan krisis kehakiman kerana nanti, semua prosiding mahkamah dan keputusan akan terbatal.

“Sistem kehakiman di bawah pentadbiran ketua hakim juga akan cacat kerana kehakiman tidak diurus tadbir oleh hakim yang berperlembagaan,” katanya di luar Istana Negara hari ini.

Dr Mahathir berkata berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kedua-dua hakim dibuat berdasarkan kepada perkenan Agong dengan nasihat daripada Najib dan Agong mempunyai kuasa membawa perkara itu ke mahkamah sebelum ia dikuatkuasakan.

“Pelantikan Raus dan Zulkefli pada 7 Julai mencemar perlembagaan.

“Kami gabungan empat parti di bawah PH mendesak Agong menggunakan budi bicaranya ke Mahkamah Persekutuan untuk mempertikaikan sama ada pelantikan itu sah atau tidak.

“Kami harap Agong akan menegakkan Perlembagaan Persekutuan daripada dicemari demi rakyat dan negara ini,” katanya.

Dr Mahathir turut disertai pemimpin pembangkang lain daripada Bersatu, PKR, Amanah dan DAP.

Raus akan kekal sebagai ketua hakim untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 4 Ogos selepas pelantikannya sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Pelanjutan khidmatnya itu disyorkan Pejabat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan baharu itu dibuat di bawah Artikel 122(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim mahkamah tinggi disyaratkan bersara pada usia 66 dan enam bulan tetapi peruntukan dalam Artikel 122(1A) menyatakan hakim tambahan tidak ada had umur.

Raus, yang juga bekas presiden Mahkamah Rayuan pada awalnya dijadualkan bersara kerana mencapai usia persaraan wajib pada 4 Februari.

Majlis Peguam Malaysia akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kuala Lumpur esok dan mungkin memulakan cabaran undang-undang terhadap pelanjutan perkhidmatan Raus dan Zulkefli.

EGM itu dijangka dihadiri ahli dari Persatuan Undang-undang Sabah dan Persatuan Peguam bela Sarawak di Miri.

Mesyuarat itu dijangka dihadiri 16,500 ahli. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen