Kit Siang perli 'kejayaan' kerjasama PAS, Umno


Desmond Davidson

DAKWAAN pemimpin Umno dan PAS tentang pencapaian memberangsangkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia disifatkan sebagai alasan untuk ‘mewajarkan kerjasama antara MCA-PAS-Umno, kata Lim Kit Siang.

Pemimpin veteran DAP itu berkata pakatan ketiga-tiga parti itu akan merugikan orang Cina kerana ‘niat sebenar kerjasama itu hanyalah semata-mata untuk menjaga kepentingan pemimpin Umno dan PAS’.

Lim mengulas kenyataan seorang pemimpin PAS yang mengatakan sokongan terhadap parti Islam itu semakin meningkat hasil kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang dianggap sebagai berbaloi.

Pemimpin PAS itu kemudiannya berkata undi popular Pakatan Harapan (PH) sudah merosot.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad pula berkata peningkatan jumlah sekali ganda untuk PAS daripada 4,563 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada 9,968 undi pada PRK semalam adalah bukti orang Melayu setuju dengan kerjasama kedua-dua parti itu.

“Wujud kenyataan tidak jujur oleh pemimpin PAS dan Umno apabila mereka menggunakan situasi yang berbeza untuk membandingkan keputusan kedua-dua pilihan raya,” kata Lim.

Dr Halimah Ali bertanding pada PRK DUN Seri Setia dan memperoleh 9,968 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

Katanya jumlah undi yang diperoleh calon PAS Dr Halimah Ali pada PRK semalam perlu dibandingkan dengan jumlah keseluruhan undi yang diperoleh oleh calon PAS dan Umno pada PRU14.

“Pemimpin Umno tidak jujur dalam menyatakan bahawa jumlah undi yang diperoleh Halimah meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini.

“Undian Halimah perlu dibandingkan jumlah undi calon Umno (9,878) dan calon PAS (4,563) yang berjumlah 14,441undi keseluruhannya.

“Namun pada PRK semalam, Halimah hanya mendapat 9,698 daripada 14,441 undi atau dua pertiga daripada gabungan undi Umno dan PAS pada Mei lalu.

Lim turut mempersoalkan kepada Umno memberi laluan kepada PAS sedangkan calon Umno memperoleh lebih banyak undi berbanding calon PAS pada PRU14.

Lim juga membidas dakwaan pemimpin PAS bahawa sokongan PH telah berkurangan dengan menyatakan bahawa jumlah peratusan pengundi yang keluar pada PRK semalam menurun daripada 84% kepada 44%.

“Ini sebabnya Umno dan BN ditolak oleh pengundi pada PRU14 yang lalu kerana pemimpin mereka menyebabkan Malaysia terkenal dengan isu kleptokrasi di seluruh dunia.

“Dan selepas empat bulan, tiada pemimpin Umno dan BN termasuk MCA yang membuat permohonan maaf atas kleptokrasi 1MDB, menunjukkan MCA-Umno-BN tidak mampu menjadi parti pembangkang yang jujur dan konstruktif,” katanya.

Lim berkata, walaupun dalam keadaan sedemikian, amat hairan apabila pemimpin PAS sanggup berpakat dengan Umno melainkan parti di bawah pimpinan presiden Abdul Hadi Awang menyokong kleptokrasi Islam. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen