Sambut Merdeka dengan kayuhan 140km menuju Putrajaya


Christopher Rabin

Pengayuh basikal yang terdiri daripada 61 pengayuh utama dan 39 pengayuh sokongan memulakan Kayuhan Kemerdekaan 2018 dari Gemencheh, Negeri Sembilan awal hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

100 pengayuh basikal menyambut Hari Kebangsaan ke-61 dengan cara tersendiri apabila berjaya melengkapkan kayuhan sejauh 140km yang berakhir di Putrajaya petang tadi.

Saiful Adly, ketua pengayuh basikal itu berkata Putrajaya adalah lokasi bermakna untuk menamatkan kayuhan itu kerana ia simbol harapan baharu Malaysia.

“Penamat kayuhan adalah simbolik di Putrajaya, seperti mana Pakatan (PH) menggantikan rejim lama di sini menjadi simbol kembali kepada kemegahan,” katanya.

Pengayuh basikal yang terdiri daripada 61 pengayuh utama dan 39 pengayuh sokongan memulakan Kayuhan Kemerdekaan 2018 dari Gemencheh, Negeri Sembilan awal hari ini.

“Ini sangat penting kerana mereka berjaya menyatakan visi dan misi, pada masa sama menunjukkan kecintaan mereka kepada Malaysia dengan melengkapkan perjalanan merentasi halangan seperti cuaca panas,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith yang meraikan pengayuh basikal itu di garisan penamat.

Salah seorang peserta, Nur Azlina Esa, 39, yang menghidap kanser lymphoma mendedikasikan kayuhan itu kepada semua pesakit kanser seluruh negara.

“Ini bukan sekadar perlumbaan, ia acara untuk uji kesihatan, kekuatan dan semangat kita,” katanya.

Peserta Kayuhan Merdeka 2018 terdiri daripada pelbagai usia, termuda ialah Mohammad Hilmi, 16, dan paling berusia ialah Hamli Ishak, 74. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen