Polis Britain ramal rusuhan berlaku jika Brexit tak lancar


Memetik dokumen yang dibocorkan, akhbar Sunday Times melaporkan kebimbangan akan wujud kekurangan bekalan makanan dan barangan termasuklah bekalan penjagaan kesihatan yang akan menyebabkan rusuhan sehingga mencetuskan kekecohan seluruh negara. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

KETUA polis Britain merancang pelan keselamatan berdepan rusuhan sekiranya negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian Brexit, menurut laporan akhbar pada Ahad.

Memetik dokumen yang dibocorkan, akhbar Sunday Times melaporkan kebimbangan akan wujud kekurangan bekalan makanan dan barangan termasuklah bekalan penjagaan kesihatan yang akan menyebabkan “rusuhan sehingga mencetuskan kekecohan seluruh negara”.

Dokumen itu disediakan oleh Pusat Koordinasi Polis Nasional yang bertanggungjawab mengerahkan pasukan polis dalam situasi kecemasan besar dan krisis dalam negara.

Akhbar itu berkata rusuhan dan kekecohan boleh berlanjutan sehingga tiga bulan pada hari sepatutnya Brexit berlaku iaitu 29 Mac 2019.

Menteri Dalam Negeri Sajid Javid memberitahu BBC: “Saya gembira polis dan pakar lain meneliti perkara ini dan berfikir apa yang perlu dilakukan dalam keadaan tiada persetujuan (Brexit).”

Tambahnya: “Saya tak jangka tiada penyelesaian wujud tetapi kita perlu bersedia untuk semua kecemasan.”

Tetapi Louise Haigh, jurucakap pembangkang Parti Buruh berkata senario yang diramalkan itu “mimpi ngeri”.

Katanya, tiada perjanjian dalam Brexit boleh menyebabkan Britain kucar kacir”.

Britain dan EU berharap untuk memuktamadkan perjanjian perpisahan itu dalam masa beberapa minggu lagi, tetapi rundingan tersekat dalam soal sempadan kawasan Ireland. – AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen