Bekas doktor gigi angkat sumpah sebagai presiden baharu Pakistan


Arif Alvi merupakan salah seorang pengasas parti Tehreek-e-Insaf (PTI) dan menjadi presiden Pakistan ke-13 menggantikan Mamnoon Hussain. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

ARIF Alvi mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Pakistan di Islamabad hari ini, sekali gus melengkapkan peralihan kuasa secara aman kepada kerajaan baharu susulan pergolakan yang tercetus sepanjang kempen pilihan raya.

Pelantikan beliau mengukuhkan lagi kuasa parti pemerintah selepas keputusan kontroversi pilihan raya pada Julai yang didakwa dicemari campur tangan tentera sehingga menyaksikan bekas legenda kriket negara itu, Imran Khan dipilih sebagai perdana menteri.

Arif, 69, yang merupakan sekutu rapat Imran dan salah seorang pengasas parti Tehreek-e-Insaf (PTI), menjadi presiden Pakistan ke-13 menggantikan Mamnoon Hussain.

Arif mengangkat sumpah untuk memegang kepercayaan dan kesetian kepada Pakistan serta melaksanakan tanggungjawab beliau menjaga kepentingan, kedaulatan, solidariti dan kemakmuran negara itu.

Beliau merupakan bekas doktor gigi dan berkhidmat sebagai setiausaha agung parti PTI selama lapan tahun sejak 2006.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan merupakan sekutu rapat Arif Alvi. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

Arif juga pernah dipilih sebagai ahli Parlimen di Karachi pada 2013.

Bapa kepada empat orang anak itu yang merupakan pengguna tegar Twitter, pernah ditembak dan mengalami kecederaan ketika menyertai bantahan terhadap diktator tentera, Ayub Khan di Lahore pada 1969.

Peluru tersebut masih tertanam di tangan kanannya.

Kejayaan PTI kali ini menamatkan penguasaan parti Liga Muslim-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat (PPP) sejak puluhan tahun lalu.

Namun Imran dan barisan Kabinetnya berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, ancaman militan, kekurangan bekalan air dan pertambahan mendadak penduduk di Pakistan. – AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen