Tentera elit Iran gempur kubu pemberontak Kurdish di utara Iraq


Gambar fail bertarikh 9 Julai 2008 menunjukkan tentera elit Iran melancarkan peluru berpandu Shabab-3 di selatan negara itu. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

PASUKAN Pengawal Revolusi Iran mengesahkan serangan peluru berpandu ke atas kubu pemberontak Kurdish di utara Iraq semalam.

“Ibu pejabat pengganas berjaya dimusnahkan dalam serangan tersebut yang melibatkan penggunaan tujuh peluru berpandu permukaan ke permukaan pada Sabtu,” kata tentera elit Iraq itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Sumber perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 11 pemberontak Kurdish maut dan 30 lagi cedera dalam serangan tersebut. 

Kenyatan itu berkata, tentera turut menggunakan khidmat drone dalam serangan tersebut.

“Serangan ini dilancarkan susulan tindakan kumpulan pengganas dari Kurdistan di kawasan sempadan Iran.

“Berlaku pencerobohan oleh beberapa kumpulan pengganas ke wilayah Azarbaijan Barat, Kurdistan dan Kermanshah yang bersempadan dengan Iraq.

“Tentera juga telah bertempur dengan pemberontak Kurdish di pekan Marivan dan Kamyaran baru-baru ini,” kata kenyataan itu.

Kumpulan pemberontak itu dilapor sedang mengadakan mesyuarat ketika serangan itu berlaku dan beberapa pemimpin kumpulan tersebut dilaporkan cedera.

Ibu pejabat kumpulan itu terletak di Koysinjaq, kira-kira 60 kilometer dari timur Arbil, ibu wilayah autonomi puak Kurdish di Iraq. – AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen