BERIBU-RIBU tentera Korea Utara diiringi kereta kebal dan artileri berarak di Pyongyang hari ini ketika republik itu menyambut ulang tahun ke-70 kemerdekaannya.
Bagaimanapun perarakan kali ini menampilkan kelainan apabila senjata peluru berpandu balistik tidak dipamerkan kepada umum.
Hanya satu peluru berpandu iaitu misil jarak sederhana Kumsong-3 yang digunakan untuk memusnahkan kapal dan sistem pertahanan permukaan ke udara Pongae-5 sahaja dibawa berarak pada tahun ini.
Perarakan peluru berpandu merupakan acara klimaks majlis sambutan ulang tahun itu yang sentiasa menjadi perhatian media antarabanga untuk mengukur keupayaan ketenteraan Korea Utara.
Antara peluru berpandu yang dinantikan adalah Hwasong 14 dan Hwasong15 yang didakwa mampu mencapai jarak sehingga ke Amerika Syarikat (AS).
Pyongyang belum pernah menyatakan secara terbuka untuk menghentikan program persenjataan yang dibangunkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu dengan melibatkan kos kewangan yang besar.
Bagaimanapun pendirian Korea Utara itu menyebabkan komuniti antarabangsa terutamanya AS mengenakan sekatan ekonomi ke atas Pyongyang ekoran kebimbangan negara itu membangunkan senjata nuklear.
April lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengisytiharkan program nuklear negara itu sudah berjaya sepenuhnya dan kini menumpukan terhadap pembangunan sosio ekonomi. – AFP, 9 September, 2018.
Komen