PM Jepun lawat kawasan dilanda gempa bumi di Hokkaido


Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (dua dari kiri) melawat bandar Astuma yang musnah pada selepas gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda pulau Hokkaido di utara Jepun pada 6 September. – Gambar AFP, 9 September, 2018.

PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe melawat kawasan utara Hokkaido yang dilanda gempa bumi, ketika para pegawai mengesahkan dua lagi kematian yang menjadikan jumlah korban akibat bencana itu seramai 37 orang.

Abe melawat pusat bandar dan pusat komersil Sapporo, lokasi gempa berukuran 6.6 magnitud pada Khamis menyebabkan banyak rumah senget dan jalan retak.

Beliau dijadualkan menaiki helikopter untuk melihat kemusnahan di Atsuma, sebuah pekan kecil di luar bandar yang mengorbankan banyak nyawa akibat gempa.

Satu kelompok kediaman di bandar itu musnah apabila lereng bukit runtuh akibat gempa itu, menyebabkan rekahan dalam pada landskap.

Abe kemudian akan melawat penduduk di tempat perlindungan Atsuma sebelum bertemu Gabenor Hokkaido Harumi Takahashi.

Lawatan beliau itu dibuat ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk mencari dua individu yang hilang.

Kerajaan Hokkaido berkata angka kematian kini berjumlah 37 orang, dengan satu mayat belum lagi diumumkan secara rasmi oleh profesional perubatan.

“Masih terdapat hujan sesekali di Atsuma. Kerja mencari orang yang hilang diteruskan,” kata pegawai pengurusan bencana serantau kepada AFP.

Kerajaan pusat menghantar ribuan pekerja penyelamat, termasuk Angkatan Pertahanan, untuk mencari pasangan yang hilang dengan bantuan jentolak, anjing pengesan dan helikopter.

Kesemua tiga juta isi rumah di Hokkaido terputus bekalan kuasa apabila gempa pada Khamis merosakkan loji termal yang membekalkan elektrik ke rantau ini.

Bekalan kuasa hampir dipulihkan tetapi pegawai meminta penduduk dan perniagaan tempatan berjimat cermat dengan penggunaan tenaga, terutamanya selepas hujung minggu, kerana bekalan elektrik masih tidak stabil.

Gempa itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri bencana alam yang melanda Jepun.

Bahagian barat negara itu masih sedang pulih daripada taufan paling kuat yang membadai Jepun dalam tempoh suku abad, yang mengorbankan 11 nyawa dan memaksa penutupan lapangan terbang utamanya.

Jepun terletak di atas kawasan ‘Lingkaran Api’ di Pasifik di mana banyak kejadian gempa dan letusan gunung berapi direkodkan.

Pada 11 Mac 2011, berlaku gempa berkekuatan 9.0 magnitud di bawah Lautan Pasifik. Ia mengakibatkan tsunami yang menyebabkan kerosakan besar serta mengorbankan ribuan nyawa. – AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen