Parti anti pendatang diramal menang besar pilihan raya Sweden


Tinjauan awam meramalkan parti anti pendatang Sweden Democrats (SD) boleh meraih antara 16 hingga 25% undi, menjadikan ia parti terbesar menang undi dan menyukarkan ramalan pembentukan kerajaan campuran. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

PUSAT pengundian untuk pilihan raya umum Sweden dibuka pada Ahad, dan parti haluan kanan dijangka menang besar kerana pengundi tidak gembira dengan dasar imigresen diamalkan oleh kerajaan haluan kiri negara itu, antara beberapa kerajaan haluan kiri yang masih mentadbir di Eropah.

Tinjauan awam meramalkan parti anti pendatang Sweden Democrats (SD) boleh meraih antara 16 hingga 25% undi, menjadikan ia parti terbesar menang undi dan menyukarkan ramalan pembentukan kerajaan campuran.

Parti itu yang berasal daripada gerakan neo-Nazi menyifatkan ketibaan hampir 400,000 pencari suaka sejak 2012 sebagai ancaman kepada kebudayaan Sweden dan mendakwa ia menjejaskan sistem kebajikan negara itu.

Dua parti terbesar yang selalunya menang, Social Democrats dan Moderates dijangka boleh meraih 40% undi bersama-sama, jatuh 10% berbanding pilihan raya umum 2014.

Calon daripada lapan parti yang bertanding kini sedang merebut undi 20% atau 7.5 juta pengundi berdaftar yang masih tidak membuat pilihan mereka.

Perdana Menteri Stefan Lofven daripada Social Democrat menyifatkan pilihan raya itu sebagai “referendum masa depan negara berkebajikan”.

Tetapi SD yang berhaluan kanan menganggap pilihan raya itu adalah untuk menolak dasar imigresen dan integrasi, selepas Sweden menerima lebih 160,000 pencari suaka pada 2015 sahaja, negara Eropah paling banyak menerima pendatang.

Lofven mengecam “tarikan kebencian” yang wujud di Sweden.

Beliau menggesa pengundi untuk “memikirkan bagaimana mereka mahu menggunakan masa mereka di bumi”, meminta mereka “berdiri bersama pihak benar dalam sejarah”.

Pusat pengundian di seluruh negara dibuka pada jam 8 pagi waktu tempatan dan ditutup jam 8 malam, keputusan pertama dijangka diumumkan selepas itu.

Keputusan penuh dijangka diumumkan sebelum tengah malam tetapi komposisi kerajaan baharu hanya dapat diketahui beberapa minggu lagi. – AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen