Kepimpinan tertinggi PKR belum berbincang mengenai Anwar, kata Zuraida


etua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengulas laporan bahawa parti itu akan mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

KEPIMPINAN tertinggi PKR belum mengadakan sebarang perbincangan  mengenai kerusi Parlimen yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding, kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Malah Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu melalui media massa. 

“Saya ada baca berita mengenai perkara tersebut tetapi masih tiada sebarang mesyuarat atau perbincangan mengenainya di peringkat kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis kenduri rakyat bersempena majlis perkahwinan anak sulungnya di Ampang dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan oleh PKR  bagi memberi laluan untuk Anwar bertanding.

Bagaimanapun Dr Wan Azizah yang juga presiden parti,  berkata PKR belum dapat mengumumkan  di mana kerusi terbabit  atau bila akan dikosongkan.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang sebelum itu dilaporkan berkata parti berkenaan akan mengosongkan satu kerusi Parlimen minggu depan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding. – Bernama, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen