PENGASAS dan Pengerusi Alibaba Jack Ma dijangka mendedahkan pelan penggantian esok, lapor akhbar South China Morning Post (SCMP) hari ini, dengan jurucakap syarikat itu menafikan laporan New York Times (NYT) bahawa beliau akan bersara.
SCMP, dimiliki Alibaba berkata bilionair teknologi terkenal China itu akan mendedahkan satu strategi penggantian pada Isnin, sempena ulang tahun ke-54 beliau, namun kekal sebagai pengerusi eksekutif syarikat.
NYT pada Jumaat melaporkan, berdasarkan kepada wawancara dengan Ma, bekas guru yang kini jutawan itu bercadang mengumumkan persaraan sebagai pengerusi Alibaba sempena ulang tahunnya bagi memfokuskan kepada kerja kebajikan.
Akhbar itu memetik Ma sebagai berkata, keputusan itu adalah “permulaan satu era”.
Bagaimanapun, jurucakap Alibaba berkata kepada SCMP, berita di NYT “di luar konteks dan salah daripada segi fakta”.
“Seorang jurucakap Alibaba berkata, Ma kekal sebagai pengerusi eksekutif syarikat dan akan menyediakan satu pelan peralihan,” lapor SCMP.
SCMP melaporkan strategi penggantian Isnin ini sebahagian rancangan “mempersiapkan generasi eksekutif muda mengambil alih pentadbiran” syarikat.
Ma guru bahasa Inggeris sebelum mengasaskan Alibaba pada 1999 dan membangunkannya sehingga menjadi syarikat gergasi Internet multi-bilion dolar dan menjadi antara individu terkaya dunia dan dihormati di tanah air.
Nilai kekayaannya meningkat selaras dengan perkembangan syarikat dan dinilai pada AS$420.8 bilion (RM1.75 trilion) apabila pasaran saham ditutup Jumaat lalu.
Laporan NYT mengejutkan ramai dalam masyarakat perniagaan global kerana usia Ma jauh lebih muda terutama di China yang bukan luar biasa jutawan berkuasa sehingga berusia 80-an. – AFP, 9 September, 2018.
Komen