Aktivis Berlin ubah grafiti lambang Nazi kepada hasil seni


Ahli kelab yang terdiri daripada remaja sedang mengecat semula dan mengubah suai swastika Nazi agar menjadi hasil seni yang cantik. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2017.

SEKUMPULAN artis jalanan Berlin mengambil inisiatif menukar lakaran grafiti lambang Nazi kepada hasil seni berwarna-warni menggunakan motif “cinta dan humor”.

Ketika pihak berkuasa melaporkan peningkatan aktiviti pihak pelampau di Jerman, termasuk penyebaran propaganda anti-migran yang berleluasa, sebuah kelab #PaintBack di Berlin bertindak “melawannya” semula.

“Kami sebagai artis jalanan mahu menghantar mesej yang anda menyalahgunakan grafiti,” kata pengasas kelab, Ibo Omari.

“Grafiti tiada kaitan dengan perkauman - ia mengenai warna yang terang dan latar belakang yang pelbagai.”

Omari, 37, memiliki kedai cat yang sering didatangi artis jalanan, dan mengendalikan “The Cultural Heirs”, sebuah organisasi yang mengumpulkan belia Jerman dan imigran daripada pelbagai latar belakang bagi melakukan aktiviti daripada breakdance dan seni jalanan kepada hip-hop DJing dan bermain papan selaju.

“Budaya yang membentuk kita dengan cara yang positif dan memberi peluang kepada anak-anak muda mengekspresikan diri secara kreatif agar tidak berakhir di jalanan,” katanya.

Mengubah swastika

Di ibu pejabat, di dalam bilik yang dilekatkan gambar album rap klasik, kelihatan ahli kelab remaja berlatih mencantikkan semula swastika Nazi, yang digunakan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan dan mengugut minoriti, kepada reka bentuk baru.

Burung hantu, nyamuk, arnab dengan lidahnya melekat, kiub Rubik, dua lelaki bercium, kucing di tingkap - menjadi inspirasi untuk mengubah simbol itu.

“Tidak sukar untuk menghasilkan ide,” kata Klemens Reichelt yang berusia 17 tahun.

“Saya suka kerana saya fikir swastika tidak sepatutnya berada di Berlin - ia adalah bandar yang terbuka kepada dunia dan saya mahu mempertahankannya.”

Omari dan setengah sukarelawan dewasa menggunakan corak kanak-kanak untuk “mencantikkan” swastika sekiranya menjumpainya di kawasan kejiranan.

Projek ini bermula apabila seorang penduduk tempatan memasuki kedai Omari mencari cat.

“Dia tidak kelihatan seperti artis grafiti, jadi saya bertanya kepadanya mengapa dia mahukannya dan memberitahu ia untuk menutup swastika yang dilukis di taman permainan kanak-kanak,” kata Omari.

“Kami sangat terkejut ada yang melakukannya, terutama di sini di Schoeneberg,” sebuah daerah barat Berlin yang merupakan kawasan kediaman golongan kelas menengah Jerman, keluarga Turki dan Arab.

Kemunculan simbol kebencian itu terbukti tidak terhenti di situ sahaja, ia boleh didapati di banyak lokasi seperti di taman dan bangunan pangsapuri yang mungkin berpunca dengan kemasukan lebih dari sejuta pencari suaka setelah Canselor Angela Merkel membuka sempadan pada 2015.

Agensi perisik tempatan bulan ini melaporkan kenaikan sebanyak tujuh peratus kadar jenayah bermotfkan politik pada 2016, satu pertiga daripadanya diklasifikasikan sebagai “kesalahan propaganda”. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen