Osaka menang Terbuka AS


Naomi Osaka berjaya mengalahkan idolanya Serena Williams 6-2, 6-4 untuk muncul sebagai pemain Jepun pertama meraih gelaran Grand Slam semalam. – Gambar EPA, 9 September, 2018.

NAOMI Osaka menjadi pemain Jepun pertama yang memenangi gelaran individu Grand Slam semalam ketika idolanya Serena Williams menimbulkan kekecohan apabila memanggil pengadil pertandingan akhir Terbuka AS sebagai “pencuri”.

Osaka, 20, menang 6-2, 6-4 dalam perlawanan yang menyaksikan Williams marah terhadap amaran pengadil Carlos Ramos kerana dikatakan menerima arahan jurulatihnya dari luar.

Apabila pelanggaran kod kedua berlaku dan dikenakan mata penalti, Serena berang.

Sambil menangis, Williiams menuduh pengadil sebagai “pencuri” dan dengan marah menuntut permintaan maaf daripada pegawai itu.

“Kamu menyerang karektor saya,” katanya. “Anda tidak akan berada di gelanggang saya yang lain. Anda penipu,” katanya marah dan Ramos memberi penalti yang membolehkan Osaka memenangi pertandingan 5-3 pada set kedua.

Williams memenangi set seterusnya tetapi Osaka yang mempamerkan bukan hanya permainan cemerlang tetapi kehebatan luar biasa sepanjang permainan berjaya memperoleh kemenangan bersejarah untuk negaranya.

Williams, yang menyasarkan kemenangani Grand Slam pertama sejak kelahiran anak perempuannya, Olympia pada 1 September 2017, tidak berjaya melakar sejarah memperoleh  gelaran Grand Slam ke-24 bagi menyaingi rekod sepanjang masa Margaret Court.

Ketika penyokong Williams mengejek sebagai tanda protes terhadap majlis penyampaian hadiah, Williams menggesa para penonton menghormati juara muda, Osaka.

“Beliau bermain dengan baik,” kata Williams.

“Ini adalah Grand Slam pertamanya. Saya tahu awak semua memberi sokongan, tetapi mari kita jadikan saat ini yang terbaik. Mari kita berikan kredit kepada semua orang. Jangan mengejek lagi.

“Tahniah Naomi,” kata Williams, yang kemudian berkata Osaka mempersembahkan permainan “luar biasa”.

Apabila tiba giliran Osaka, beliau kelihatan seperti bingung.

“Saya tahu semua orang bersorak untuknya dan saya minta maaf ia berakhir seperti ini,” katanya.

“Ia sentiasa menjadi impian saya untuk bermain dengan Serena di final Terbuka AS,” tambahnya, sambil berpaling kepada Williams.

“Saya sangat bersyukur dapat bermain dengan anda, terima kasih.”– AFP, 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen