Pakatan akan rebah kerana pendukungya


SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), aksi mencium tangan pemimpin utama Barisan Nasional (BN) sehingga kepala seperti ingin sujud di tanah bukanlah sesuatu yang asing.

Saya masih ingat menonton video kempen PRU14 yang memaparkan ucapan pemimpin BN diiringi dengan alunan muzik tangisan seorang makcik mengenakan baju BN.

Kita boleh sahaja bersetuju dengan Daim Zainuddin – kejatuhan Umno kerana kesombongan pemimpin utama mereka.

Namun, kesombongan dan khayalan pemimpin ini turut dibentuk oleh penyokong-penyokong yang terlalu fanatik terhadap mereka.

Sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, secara perlahan-lahan saya melihat evolusi penyokong PH yang sebelum ini cukup kritikal dan terbuka berubah menjadi penyokong yang perlu rebah ke bumi ketika bersalaman dengan pemimpin politik.

Memusuhi kritikan

Bayangkanlah penyokong-penyokong PH yang dahulunya cukup vokal mengkritik kepimpinan BN seolah-olah sudah alergik kepada kritikan.

Apa jua tindakan yang dilakukan oleh PH, mereka akan bersetuju walaupun ada tindakan kerajaan hari ini tidak wajar atau mencontohi kerajaan lama.

Dua hujah tipikal dalam meluruskan semua tindakan kerajaan hari ini adalah BN terlalu banyak melakukan kerosakan sehingga kedudukan kewangan tidak stabil atau baru beberapa hari “berkahwin” takkanlah boleh terus beranak.

Lebih malang, saya perhatikan ramai yang menghentam kritikan tanpa membaca penuh kritikan, apatah lagi melakukan kajian terhadap kritikan yang dilontarkan.

Lihatlah bagaimana ruangan Facebook Najib Razak yang digunakan penyokong PH untuk memalukan diri sendiri.

Bagi kebanyakan penyokong yang sarat dadanya dengan ilmu, mereka akan menanggalkan ilmu untuk “membodek” dan melobi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Teringat saya ketika ada media melaporkan projek keretapi laju (HSR) bersama kerajaan Singapura dibatalkan. Berduyun-duyun pakar ekonomi dan geopolitik memuji tindakan kerajaan dengan hujah hutang negara yang terlalu tinggi.

Beberapa hari selepas itu, kerajaan mengumumkan pembatalan projek ini masih dalam kajian, kelompok yang tadinya memuji pembatalan, segera bertukar angin supaya mereka kelihatan senada dengan pemerintah.

Begitu juga dengan seorang pensyarah yang dahulunya kelihatan kritikal dengan tindakan kerajaan, tiba-tiba menggelarkan mahasiswa yang melakukan protes sebagai “lemboo” (lembu).

Apa yang saya cuba sampaikan, kefanatikan atau kehausan kuasa tidak hanya berlaku pada pendukung PH yang tidak mempunyai ilmu atau kesedaran akal, ia turut menyebabkan “ilmuan” hilang akal dan membelakangkan disiplin ilmu untuk membodek pemimpin PH.

Malaysia Baharu

Malaysia baharu tidak tertegak dengan penukaran pemimpin semata-mata; ia adalah proses reformasi sistem pemerintahan dan mentaliti. Selalunya hanya pemimpin politik yang kerap menerima kritikan daripada penyokong; dengan semangat Malaysia Baharu, sudah sampai masanya penyokong membuta tuli ini dikritik.

Mengambil contoh pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai pengerusi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), ia membuktikan semangat Malaysia baharu hanya wujud berteraskan “individu” semata-mata, bukan sistem politik atau pemikiran.

Maszlee perlu ditolak bukan kerana beliau tidak layak, namun kita harus memahami akan berlakunya “conflict of interest” jika beliau menyandang jawatan itu.

Tambahan lagi, dia sedang menyandang jawatan menteri pendidikan yang memiliki tanggungjawab besar dan jadual yang padat.

Pelantikan ini cuba diluruskan dengan mengatakan mantan menteri pendidikan sebelum ini juga pernah memegang jawatan tersebut.

Ia sungguh melucukan; bukankah kita mahu Malaysia yang baru, mengapa perlu merujuk Malaysia lama?

Banyak perubahan institusi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat menikmati Malaysia baru.

Untuk menjadikan perubahan institusi tersebut berkesan dan sesuai, para penyokong perlulah berfungsi dengan lebih baik.

Begitu juga dengan penasihat atau pegawai khas menteri, budaya bodek adalah “kanser” dalam Malaysia lama.

Malangnya dalam kes Maszlee, ramai yang menghidap kanser ini – termasuklah ahli akademik yang dahagakan jawatan.

Semalam PH berjaya mengekalkan kerusi mereka di DUN Seri Setia dan Balakong, namun peratus turun mengundi terlalu rendah.

Hal ini menunjukkan “political fatigue” berlaku dalam kalangan pengundi.

Di Seri Setia, “perkahwinan” Umno dan PAS berjaya meningkatkan undi PAS. Jika perkahwinan ini berkekalan, dengan mentaliti kebanyakan penyokong PH pada hari ini, PH mungkin akan rebah kerana pendukungnya.

Ingatlah kerajaan tidak dinilai semata-mata kerana keadaan ekonomi, tapi integriti dan keterbukaan. Kepada penyokong PH, kembalilah kritikal dan vokal! – 9 September, 2018.

* Rahman Imuda merupakan aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen